REBUT... Penyerang Negeri
Sembilan, Gus Cerro cuba dihalang oleh ketua pasukan Olimpik 2000, M. Elangoo
pada perlawanan Liga Perdana Satu di Stadium Merdeka, malam tadi. Negeri
Sembilan menang 2-1. - Gambar HANAFI KHAMIS.
PENANTIAN memburu gol akhirnya
menjadi kenyataan buat Olimpik selepas 335 minit namun ia tidak mampu
menjanjikan kejayaan apabila Negeri Sembilan mencatat kemenangan 2-1 dalam
perlawanan Perdana Satu di Stadium Merdeka malam tadi, lapor AMRAN MULUP.
Jurulatih Hatem Souissi tampak
lega dengan jaringan penyamaan menerusi V. Saravanan selepas tiga perlawanan.
Namun pemain veteran Dollah
Salleh yang dimasukkan pada babak kedua tidak mensia-siakan peluang
menyempurnakan gol kemenangan Negeri Sembilan pada minit ke-75.
Buat Olimpik ini adalah
kekalahan kedua di gelanggang sendiri yang sebelum ini tewas 1-0 kepada Perak
manakala dua perlawanan lagi mencatat keputusan seri tanpa jaringan bertemu
Brunei dan Kedah.
Manakala Negeri Sembilan mampu
pulang lega mengutip kemenangan kedua berturut-turut selepas membelasah Perlis
4-0 di Paroi, Selasa lalu.
Negeri Sembilan yang masih
segar dengan kemenangan besar ke atas Perlis Selasa lalu mengasak awal, peluang
mereka tiba pada minit ke-11 namun rembatan kencang Zami Mohd. Noor dari luar
kotak penalti sekadar melewati palang.
Namun Olimpik bangkit
mencemaskan benteng pertahanan pelawat tolakan cantik ketua pasukan Chia Ching
Kar tetapi rembatan Mohd. Khalid Jamlus meliar keluar pada minit ke-17.
Dua minit selepas itu Khalid
sekali lagi hampa melihat rembatan lemahnya sekadar ke dakapan penjaga gol
Negeri Sembilan, Mohd. Yazid Mohd. Yassin hasil lorongan cantik Azmir.
Negeri Sembilan akhirnya
memecah kebuntuan pada minit ke-33 apabila sepakan sudut Gus Cerro tepat ke
arah Affendi yang tidak menghadapi masalah menanduk masuk menggegar jaring.
Buruan Olimpik untuk mencari
gol penyamaan hampir berhasil pada minit ke-53 hanya kecekapan Mohd. Yazid
menjadi penghalang. Akhir penantian Olimpik untuk mencipta jaringan berhasil
melalui jaringan V. Saravanan pada minit ke-65.
Kedudukan terikat 1-1 hanya
mampu bertahan sepuluh minit apabila pemain veteran Dollah Salleh meledakkan
jaringan kedua menyempurnakan hantaran Zami dalam gol yang sudah terngaga.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0418&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4JB8swgCZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan