Rabu, 31 Mei 2017

Titus dalam senarai



ARKIB : 08/07/2005

KUALA LUMPUR - Pemain remaja, Titus James Palani telah kembali ke tanah air dan terus diberitahu bahawa namanya berada dalam senarai pelatih skuad bola sepak ke Sukan SEA.

``Titus telah kembali ke tanah air dan dia menemui saya semalam (kelmarin). Saya beritahu Titus bahawa dia telah dipanggil untuk menyertai latihan pusat untuk Sukan SEA,'' kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.

Titus kembali daripada menjalani latihan di Perancis bersama kelab Le Havre selama lima tahun sejak September 2000.

``Dia kini telah berusia 18 tahun dan sudah boleh menyertai kelab profesional. Dia memberitahu saya bahawa dia sedang menunggu tawaran daripada mana-mana kelab,'' kata Ibrahim.

Sebanyak 40 pemain akan dipanggil untuk melapor diri menyertai latihan pusat ke Sukan SEA, yang akan diadakan di Wisma FAM di Petaling Jaya bermula pada 18 Julai.

Daripada jumlah itu, sebanyak 20 atau 22 pemain akan dipilih untuk mengikuti lawatan ke Poland untuk empat perlawanan persahabatan. Skuad negara akan berlepas ke Poland pada 31 Julai.

Selepas itu, skuad negara akan ke Bangkok untuk kejohanan pra Sukan SEA dan kemudian ke Dubai, Amiriyah Arab Bersatu pada bulan puasa.

``Di Dubai, tidak seperti di sini, pertandingan liga terus berjalan pada bulan puasa ... itulah sebabnya skuad itu dihantar ke sana untuk mengadakan beberapa perlawanan,'' kata Ibrahim

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0708&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ihza3UUO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 30 Mei 2017

Bicskei kena denda RM50,000



ARKIB : 14/06/2005

Oleh: AMRAN MULUP

PETALING JAYA - Jurulatih bola sepak kebangsaan, Bertalan Bicskei didenda sebanyak RM50,000 setelah didapati bersalah membaling botol dan meluru ke padang sewaktu perlawanan persahabatan kedua Malaysia bertemu Singapura di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 8 Jun lalu.

Keputusan untuk mendenda jurulatih dari Hungary itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib dipengerusikan oleh Tan Sri Aseh Che Mat yang bersidang hampir empat jam di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Kelana Jaya di sini, semalam.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, jawatankuasa itu memutuskan Bicskei bersalah atas dua salah laku jurulatih itu pada minit ke-70 sewaktu aksi Malaysia bertemu Singapura sedang berlangsung.

``Pada minit ke-70, Bicskei didapati membaling botol minuman ke dalam padang dan dua minit selepas itu beliau bertindak meluru masuk ke padang.

``Sejurus masuk ke padang, beliau (Bicskei) terus menolak pemain gantian Singapura, Razaleigh Khaik (memakai jersi no 14),'' ujarnya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Menurut beliau, Bicskei bertindak demikian kerana hilang sabar dan rasa tidak puas hati ekoran tindakan kasar Razaleigh ke atas pemain kebangsaan, Zainuddin Ariffin.

Merumuskan mengenai keputusan tersebut Ibrahim berkata, jawatankuasa yang bersidang memandang serius dengan tindakan tidak wajar dilakukan oleh jurulatih dari Hungary itu.

``Tindakan Bicskei dipandang serius apa lagi beliau adalah jurulatih kebangsaan dan jawatankuasa terpaksa mengambil tindakan keras dengan mendenda beliau sebanyak RM50,000,'' katanya.

Ditanya sama ada Bicskei membuat rayuan ketika hukuman dijatuhkan ke atas beliau Ibrahim berkata, jurulatih itu tidak akan membuat sebarang rayuan.

``Sewaktu memberi keterangan kepada jawatankuasa yang bersidang, Bicskei mengakui kesilapan yang dilakukannya dan beliau turut memohon maaf atas tingkah laku tersebut,'' ujarnya lagi.

Dalam insiden di Stadium Bandaraya itu, Razaleigh yang masuk sebagai pemain gantian bertindak agresif menolak pemain Perlis, Zainuddin sehingga keluar padang ketika pemain Perlis itu cuba mengejar bola.

Disusuli tindakan pemain Singapura itu membentes kasar ke atas Zainuddin berhampiran bangku simpanan skuad kebangsaan menyebabkan Bicskei hilang sabar dan terus meluru ke dalam padang.

Bagaimanapun, pengadil dari Indonesia, Jimmy Napitupulu yang mengadili perlawanan tersebut berjaya mengawal keadaan sambil mengarahkan Bicskei keluar padang dan Razaleigh pula dilayangkan kad kuning.

Pada perlawanan tersebut Malaysia tewas buat kali kedua dengan keputusan 1-2. Dalam perlawanan pertama di Stadium Kallang, Singapura anak didik Bicskei tewas 0-2.

Sementara itu dalam kes lain, jurulatih MPPJ, Michael Feichpen Benier dilarang berada di bangku simpanan pemain untuk dua perlawanan akan datang setelah didapati bersalah membantah keputusan pengadil perlawanan.

Kejadian berlaku sewaktu perlawanan Sabah menentang MPPJ pada 14 Mei lalu.

Dalam pada itu, jurulatih Perlis, Abdul Rahman Ibrahim dan pengurus Sabah, Johari Ayob diberi amaran secara lisan setelah didapati bersalah kerana membantah keputusan pengadil.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4ickX2uYB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Malaysia kalah kerana nasib



ARKIB : 11/06/2005

Oleh WAN NAJIB WAN DAUD 
PULAU PINANG 10 Jun - Malaysia meletakkan nasib sebagai punca kekalahan 1-2 kepada Singapura pada perlawanan persahabatan di Stadium Bandaraya, malam kelmarin apabila tujuh peluang terhidang gagal dimanfaat sepenuhnya oleh barisan pemain terutamanya bahagian serangan.

Jurulatih negara, Bertalan Bicskei mengakui sememangnya nasib tidak menyebelahi pasukan negara apabila barisan hadapan yang diketuai oleh Nizaruddin Yusoff, Hairuddin Omar dan Zainuddin Ariffin seolah-olah serba tidak menjadi apabila berada di depan gawang Singapura.

``Saya akui kekalahan kepada Singapura merupakan satu tamparan hebat, namun apa yang boleh dikatakan tuah sememang tidak menyebelahi Malaysia, ditambah pula dengan beberapa keputusan pengadil yang sedikit sebanyak boleh dipertikaikan,'' katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan.

Ditambah dengan tahap permainan para pemain Singapura nyata lebih baik dari pemain negara, Bicskei terpaksa akur bahawa pemain dari negara selatan tanah air itu berada di kelas tersendiri. Kekalahan kepada Singapura itu merupakan kekalahan kedua skuad negara dalam tempoh lima hari, selepas tewas 2-0 dalam perlawanan pertama di Stadium Nasional, Sabtu lalu.

Menurut Bicskei, beliau agak kecewa dengan tindakan pengadil perlawanan, Jimmy Napitupulu yang dilihat agak berat sebelah dalam mengadili perlawanan tersebut dan banyak keputusan boleh dipertikaikan terutamanya yang melibatkan pemain-pemain negara.

Ketika sidang akhbar tersebut, ekspresi mukanya terpancar kekecewaan terhadap beberapa keputusan perlawanan terutamanya yang membabitkan pengadil dari Indonesia itu namun beliau terpaksa akur terhadap apa yang telah diputuskan.

Ditanya tindakan beliau yang memasuki padang sambil menolak pemain Singapura, Razaleigh Khaik pada minit ke 81 ketika Malaysia ketinggalan 1-2, Bicskei berkata beliau tidak mampu menahan perasaan marah apabila melihat kekasaran demi kekasaran diperlakukan ke atas pemainnya. Dalam kejadian itu, Bicskei yang dilihat hilang kesabarannya meluru masuk ke dalam padang dan menolak Razaleigh setelah beliau membuat terjahan keras ke atas pemain sayap negara, Zainuddin Ariffin. ``Terjahan sebegitu boleh membuatkan kecederaan terhadap pemain saya, mana tahu mungkin Zainuddin mengalami patah kaki jika terjahan itu tepat ke arah kakinya,'' ``Kamu (wartawan) semua nampak apa yang berlaku dan saya minta maaf dengan tindakan saya ini. Saya beranggapan perlu mempertahankan pemain daripada terus dikasari,'' katanya lagi.

Jurulatih itu yang mendakwa mutu pengadilan amat buruk berkata, tindakan pemain Singapura amat keterlaluan dan tiada tindakan dikenakan terhadapnya walaupun bermain dengan keras.

Bicskei berkata, secara keseluruhan, prestasi pemain bertambah baik dengan mempunyai tahap persefahaman tinggi dan saling bekerjasama untuk mencari ruang memecah kubu lawan.

Mampu

Menurutnya, beliau berasa sedikit gembira dengan mutu permainan yang ditunjukkan anak didiknya apabila berusaha membuktikan mereka mampu mengalahkan pasukan lawan.

Katanya, setiap pemain dilihat memberi sepenuh tumpuan untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan berkenaan, namun beberapa peluang yang ditemui gagal disempurnakan barisan hadapan.

``Tahap permainan pemain negara lebih bagus daripada pasukan lawan kerana mereka mempunyai semangat untuk melawan sehingga minit-minit akhir walaupun tercicir di belakang pasukan lawan.

``Memang pasukan lawan bermain dengan baik tetapi kita (pemain negara) juga bermain dengan bagus, namun saya berharap kita memperoleh nasib lebih baik dalam perlawanan akan datang,'' katanya.

Katanya lagi, pemainnya sudah memberikan komitmen 100 peratus terhadap permainan dengan semangat juang tinggi, tetapi nasib tampak tidak menyebelahi Malaysia biarpun mempunyai banyak peluang.

Dalam perlawanan itu, Malaysia tewas 1-2 hasil jaringan Noh Alam Shah minit ke 18 dan Daniel Bannett minit ke 66, manakala Mohamad Arsyah Ayob merapatkan kedudukan dengan gol pada minit ke 24 selepas sepakan penalti Nizaruddin Yusof berjaya ditampan penjaga gol Singapura.

Dengan kemenangan agregat 4-1 itu, Singapura membawa pulang Piala Cabaran FAM yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0611&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iceNAZZm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Aksi skuad negara tidak bermaya



ARKIB : 10/06/2005

PULAU PINANG - Melihat kepada persembahan hambar dan tidak bermaya skuad bola sepak kebangsaan menentang Singapura kelmarin ternyata para pemain kebangsaan belum mencapai tahap untuk menyarung jersi negara.

Perlawanan persahabatan menentang Singapura itu seolah-olah memberi gambaran bahawa pasukan kita diketengahkan hanya sekadar untuk memberi mereka peluang ``menyertai perlawanan bertaraf antarabangsa''.

Percaturan jurulatih skuad kebangsaan Bertalan Bisckei ternyata tidak menjadi apabila Malaysia tewas buat kali kedua kepada Singapura dalam perlawanan secara persahabatan.

``Apa yang menjadi masalah ialah pemain Malaysia tidak konsisten. Mereka bermain dengan baik dalam satu permainan tetapi prestasi turun mendadak dalam perlawanan berikutnya,'' kata Bisckei sebagai mengulas corak permainan skuad negara.

Pada perlawanan itu, Malaysia cuma mendapat satu gol secara ``nasib'' apabila memperoleh sepakan penalti dan kecundang 1-2 kepada Singapura.

Apa yang mendukacitakan ialah sepakan penalti yang diambil oleh Nizaruddin Yusoff begitu lemah sehingga mudah dibaca oleh penjaga gol Lionel Lewis untuk menampan bola.

Namun maruah pasukan diselamatkan Mohamad Arsyah Ayob yang bertindak pantas untuk merembat bola.

Nizaruddin harus dilihat sebagai pemain yang tumpul kerana melepaskan tiga peluang keemasan untuk menyumbat gol walaupun cuma berdepan dengan penjaga gawang.

Sebenarnya, jika Malaysia bermain dengan rentak pantas, pasukan itu mungkin boleh mengalahkan Singapura tetapi corak permainan Malaysia seolah-olah terlalu defensif dan sering bermain dalam kawasan sendiri tanpa menumpukan serangan.

Bisckei hanya dapat membuat satu kesimpulan - iaitu barisan serangan Malaysia masih tumpul dan gagal membuat penyudahan yang baik walaupun mempunyai peluang terbaik.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu menyalahkan anak-anak buahnya secara terus-terang tetapi menyatakan tumpuannya kini ialah melatih skuad bawah 23 tahun bagi persiapan Sukan SEA di Manila pada November ini. - Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4icdAoYok
© Utusan Melayu (M) Bhd