Ahad, 7 Mei 2017

Dell lepas jawatan



ARKIB : 07/02/2005

Oleh ALI MAHMOOD

JAWATANKUASA Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan bermesyuarat 15 Februari ini bagi membincangkan isu peletakan jawatan Datuk Dell Akbar Khan sebagai Setiausaha Agung FAM.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, pada mesyuarat itu nanti, barisan Exco FAM akan membuat pertimbangan dan keputusan sama ada menerima atau menolak peletakan jawatan tersebut.

``FAM kehilangan seorang tokoh yang boleh dianggap berperanan penting dalam pembangunan bola sepak negara jika beliau tetap dengan keputusannya itu untuk berundur daripada FAM.

``Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah akan memberikan penerangan kepada barisan Exco mengenai hasrat beliau dan satu keputusan akan diputuskan secara kolektif dan demokrasi sama ada menerima atau menolak permohonan peletakan jawatan tersebut,'' kata beliau kepada pemberita semasa diminta mengulas peletakan jawatan Dell itu.

Menurut Tengku Abdullah, beliau sendiri tidak mengetahui punca sebenar kenapa bekas pemain bola sepak kebangsaan itu mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada arena bola sepak negara secara mengejut.

Tambah beliau, jika benar, FAM kehilangan tokoh yang berpengalaman luas seperti Dell tetapi pembangunan bola sepak akan tetap diteruskan dan badan bola sepak negara itu akan membuka peluang kepada orang lain untuk mengisi kekosongan jawatan tersebut.

Persoalannya ialah siapakah yang layak untuk mengisi jawatan Setiausaha Agung FAM yang setakat ini telah berjaya dan berjalan dengan cemerlang di bawah pentadbiran bekas Ketua Polis Kuala Lumpur itu.

``Untuk mengisi kekosongan jawatan itu memang mudah tetapi siapakah yang benar-benar layak dan memahami perjalanan dan pembangunan bola sepak negara yang perlu kita tonjolkan bagi menggantikan beliau.

``Sehubungan itu saya berharap barisan Exco akan mendapat gambaran sebenar kenapa beliau mengambil keputusan untuk mengundur diri,'' kata Tengku Abdullah.

Jika Dell tetap dengan keputusannya, FAM akan mengalami rombakan kecil bagi menyusun semula strukturnya supaya FAM dan pembangunan bola sepak terus berjalan dengan licin dan teratur.

Sehubungan itu Tengku Abdullah berharap peminat-peminat bola sepak dan pihak media tidak menggembar-gemburkan dan mengeksploitasikan isu tersebut.

Dalam pada itu kata beliau, FAM kan berusaha untuk mencari tokoh yang terbaik bagi mengisi kekosongan jawatan tertinggi dan penting dalam FAM dengan membuka jawatan tersebut bagi sesiapa yang boleh dianggap layak untuk menduduki kerusi tersebut.

``Saya sendiri sebenarnya merasa terkejut kerana beliau sebelum ini tidak pernah membayangkan hasratnya itu dan kali terakhir kami bertemu ialah semasa menyaksikan pertemuan antara Malaysia dan Indonesia dalam kejohanan Piala Tiger baru-baru ini.

``Malah beliau sebelum ini tidak tidak pernah menceritakan kepada saya sama ada menghidapi sebarang jenis penyakit kerana saya lihat dia begitu sihat,'' ujar Tengku Abdullah.

Bagaimanapun kata beliau, jawatan dalam FAM bukan milik individu tertentu dan sudah ada pasti akan ada penggantinya tetapi ketiadaan Dell tetap dirasakan kerana jasanya kepada bola sepak negara cukup besar dan berharga.

Dell mengambil alih jawatan Setiausaha Agung FAM daripada Datuk Paul Mony Samuel yang meletak jawatan pada 2000.

Paul Mony kini menjadi Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Sebelum ini, Penolong Setiausaha Agung FAM, Datuk Yap Nyim Keong turut meletak jawatan dan menurut Tengku Abdullah, Exco FAM akan turut membincangkan sekali peletakan jawatan Yap.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0207&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4gOdFcKX9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan