Sabtu, 6 Mei 2017

Tempat ketiga penawar duka



ARKIB : 16/01/2005

Daripada A. JAILANI ABDULLAH
 
KETUA pasukan Malaysia, Rosdi Talib (kanan) diasak oleh pemain Myanmar Zaw Zaw dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat kejohanan bola sepak Piala Tiger 2004 di Singapura, semalam. Malaysia menang 2-1. -Gambar ASWAD YAHYA.

SINGAPURA - Jaringan pertama Mohd. Nor Ismail di pentas antarabangsa membantu Malaysia menang 2-1 ke atas Myanmar untuk skuad negara menduduki tempat ketiga dalam bola sepak Piala Tiger 2004 di Stadium Jalan Besar di sini, semalam.

Sebelum itu penyerang utama negara, Mohd. Khalid Jamlus meletakkan Malaysia di depan sebelum Soe Myat Min menyamakan kedudukan pada awal babak kedua perlawanan.

Kedua-dua pasukan menyimpan kenangan manis di Stadium Jalan Besar setelah masing-masing menundukkan Singapura dalam perlawanan persahabatan beberapa bulan lepas.

Tetapi Myanmar mendapat kejutan sebelum perlawanan dimulakan apabila lagu Negaraku berkumandang sedangkan sebelumnya pengacara meminta 1,638 penonton berdiri untuk menghormati lagu kebangsaan negara itu.

Tetapi itu tidak menghalang mereka untuk lebih dulu menguji benteng skuad Bertalan Bicskei apabila ketua pasukan dan penyerang, Myo Hlaing Win melepaskan sepakan deras yang ditangkap kemas oleh Mohamad Syamsuri Mustafa.

Myanmar yang tidak pernah mara sebegini jauh, kelihatan akan menguasai perlawanan tetapi Malaysia perlahan-lahan membentuk gerakan mantap.

Pada minit keempat, Khalid dan pemain tengah, Muhammad Shukor Adan membuat sepakan tepat - kedua-duanya diselamatkan oleh pertahanan kanan, Min Thu berhampiran garisan gol.

Hanya dua minit kemudian penjaring empat gol dan antara calon pemain terbaik kejohanan, Liew Kit Kong merembat dari kiri selepas menerima umpanan pemain tengah, Fadzli Saari untuk memaksa Aung Oo merebahkan badan bagi menyelamatkan gawangnya

Tetapi Aung Oo tidak mampu berbuat banyak pada minit ke-15 apabila terpaksa berdepan satu lawan satu dengan Khalid.

Keghairahan Malaysia menyerang membuahkan hasil pertama menerusi serangan balas. Pemain pertahanan, Muhammad Kaironisam Sahabuddin mendapat bola lantas membuat larian solo sebelum mengumpan kepada Khalid yang kemudiannya menewaskan penjaga gol, Aung Oo dan tenang membuat sepakan ke gawang yang terbuka.

Malaysia terus menguasai perlawanan tetapi Myanmar bangkit untuk memberikan saingan lebih sengit selepas itu ketika percubaan Kit Kong dan sayap kanan, D. Surendran tersasar.

Di sebalik ketiadaan tiga pemain handalan mereka, Zaw Lynn Tun (2), Moe Kyaw Thu dan penyerang utama, Yan Paing yang digantung perlawanan, Myanmar masih kelihatan gagah.

Myanmar menyangka mereka mendapat sepakan penalti pada minit ke-28 tetapi pengadil, Vo Minh Tri dari Vietnam melayangkan kad kuning kepada Soe Myat Min kerana berlakon telah dikasari.

Malaysia kemudian bernasib baik selepas itu apabila sepakan deras Hlaing Win pada minit ke-30 dan 42 hanya menggegarkan palang gol.

Melihat tekanan yang semakin memuncak, Bicskei membuat perubahan terhadap barisan pemain dengan memasukkan penyerang muda, Mohd. Nor menggantikan Kit Kong dan K. Nantha Kumar mengambil tempat Fadzli pada awal babak kedua tetapi tersentak oleh gol penyamaan Myanmar pada minit ke-52.

Myanmar yang menyambung permainan dengan aksi lebih garang selepas rehat kembali bersaing, terima kasih kepada penjaga garisan yang tidak mengangkat bendera untuk memudahkan Myat Min membuat sepakan mudah ke gawang.

Myat Min, penjaring gol tunggal dalam pertemuan kedua-dua pasukan pada peringkat kumpulan di Bukit Jalil, berada pada posisi yang jelas ofsaid ketika mendapat bola dan menggelecek Syamsuri.

Namun, kedudukan 1-1 tidak bertahan lama. Ketika para penyokong Myanmar bersorak, Mohd. Nor mengejutkan mereka dengan gol pada minit ke-55 selepas berjaya melepaskan diri daripada perhatian benteng lawan untuk menyusul sepakan Khalid yang terkena pemain Myanmar. Penyerang yang akan menyarung jersi Perak itu tenang mengawal bola di sebelah kanan gawang sebelum membuat sepakan sungkit untuk menewaskan Aung Oo yang meluru keluar.

Myanmar sekali lagi berpeluang menyamakan kedudukan pada minit ke-65 menerusi Mar La tetapi kali ini perangkap ofsaid Malaysia mengena. Empat minit kemudian Syamsuri pula mengecewakan mereka apabila menepis keluar sepakan Myat Min dari jarak dekat, yang kemudian menyaksikan sepakan bebasnya pada masa kecederaan tinggi melepasi palang.

Selepas perlawanan, Bicskei memuji persembahan anak-anak buahnya dan menganggap mereka menunjukkan peningkatan.

``Ini keputusan yang baik bagi kami setelah menduduki tempat keempat dua tahun lepas,'' kata jurulatih dari Hungary itu. ``Kemajuan pasukan mungkin tidak begitu besar tetapi ia masih sesuatu yang bagus.''

Bicskei, 66, menafikan mereka menang kerana nasib baik tetapi anak-anak buahnya telah berusaha keras untuk menang.

``Malah, jaringan Myanmar juga sepatutnya tidak disahkan kerana ofsaid. Mungkin penjaga garisan tidur,'' kata Bicskei.

Malaysia membawa pulang AS$20,000 (RM76,000) hasil kejayaan itu manakala Myanmar mendapat AS$10,000 (RM38,000). - Mingguan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4gMLBJpi0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan