Jumaat, 5 Mei 2017

Pemain perlu kerja keras

ARKIB : 19/12/2004
PEMAIN skuad kebangsaan, dari kiri Tarmini Sabian, Mohamad Wan Yussof, Azizon Kadir, Leong Hong Seng dan Mohd. Noor Ismail menunjukkann tanda bagus ketika melaporkan diri di kem latihan pasukan negara di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam untuk menjalani latihan sebelum berlepas ke Jakarta bagi menghadapi Indonesia dalam separuh akhir pertama bola sepak Piala Tiger 2004 pada 28 Disember ini.



PEMAIN tengah, Liew Kit Kong merasakan kedudukannya dalam skuad bola sepak kebangsaan belum terjamin selepas skuad negara membuktikan kehebatan dengan menumpaskan Thailand untuk mara ke separuh akhir Piala Tiger.
Katanya, kini dia perlu berusaha lebih keras dan mempamerkan permainan meyakinkan untuk menambat semula hati jurulatih, Bertalan Bicskei agar disenaraikan ke dalam kesebelasan utama.
Kit Kong, penjaring dua gol dalam persaingan fasa pertama kejohanan, tidak beraksi ketika Malaysia menang 2-1 ke atas Thailand kerana mengumpul dua kad kuning.
Ketiadaan sayap kanan itu menyebabkan Bicskei membuat rombakan terhadap kedudukan pemain dengan meletakkan Fadzli Saari di sebelah kanan mengambil alih kedudukan Kit Kong manakala Shukor Adan menjadi attacking midfielder untuk membantu rakan di bahagian serangan.
``Selepas kejayaan menumpaskan Thailand dan formula jurulatih yang nampaknya berjaya dalam perlawanan itu, saya melihat kedudukan saya kini goyah,'' katanya selepas melaporkan diri di Wisma FAM, Petaling Jaya semalam.
``Keputusan meletakkan Fazli di tempat saya, dan menolak Shukor untuk membantu bahagian hadapan jelas begitu berjaya. Formula ini mungkin akan dikekalkan oleh jurulatih jika saya tidak mempamerkan permainan yang bagus dalam latihan.
``Ini memberi amaran kepada saya bahawa saya perlu menggandakan usaha untuk merebut semula posisi sayap kanan itu.''
Pemain Perak itu turut melahirkan rasa kecewanya kerana tidak dapat beraksi menentang Thailand angkara penjaga garisan ketika Malaysia kalah 1-0 kepada Myanmar.
``Saya menerima kad kuning kedua ketika menentang Myanmar yang mana saya rasa cukup tidak puas hati.
``Apa yang berlaku ialah penjaga garisan mengatakan saya sengaja menyepak bola keluar sedangkan ia terkena kaki saya.
``Saya memberitahunya agar menggunakan teropong menyebabkan dia tidak berpuas hati dan memberitahu pengadil sehingga saya diberikan kad kuning dan digantung satu perlawanan,'' katanya yang kesal kerana didakwa menyepak keluar bola yang hendak dilontar ke dalam oleh pemain Myanmar.
``Saya sememangnya yakin kami boleh mengatasi Thailand walaupun ketika itu ketinggalan 1-0. Saya merasakan saya sepatutnya berada dalam pasukan itu tetapi dikecewakan oleh dua kad kuning.
``Kini tumpuan saya ialah terhadap latihan. Saya akan bersungguh-sungguh kerana saya mahu mendapatkan semula kedudukan saya dalam kesebelasan utama,'' Kit Kong melahirkan tekadnya.
Pada separuh akhir Malaysia akan menentang Indonesia di Jakarta pada 28 Disember sebelum menjadi tuan rumah di Kuala Lumpur untuk pusingan kedua pada 1 Januari.
Selepas tamat persaingan peringkat awal, Indonesia menjadi pasukan pilihan utama berdasarkan rekod mereka menjuarai Kumpulan A yang bersaing di Vietnam.
Indonesia mengumpul 10 mata selepas mencatat rekod menang tiga dan seri satu daripada empat perlawanan, termasuk menumpaskan tuan rumah, Vietnam 3-0.
Malaysia pula merupakan naib juara Kumpulan B di Kuala Lumpur dengan rekod 3-0-1 untuk mengumpul sembilan mata.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan