Kuala Lumpur: “Naluri saya
menyatakan Vingada adalah individu yang tepat untuk tugas ini,” kata Presiden
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mengumumkan
pelantikan jurulatih dari Portugal Nelo Vingada untuk mengendalikan Harimau
Malaya semalam.
Pengalaman luas dimiliki
jurulatih berusia 64 tahun itu bukan saja menjadi taruhan FAM untuk membawa
keluar skuad kebangsaan yang menghuni tangga ke-158 dunia dari zaman
kemerosotan malah mahu beliau menjadi guru kepada pemain.
“Saya mahu jurulatih yang juga
boleh menjadi seorang guru. Dalam pasukan kebangsaan, ia tidak hanya mengenai
kejurulatihan tapi juga untuk memberi pendidikan kepada pemain kami. Dengan pengalaman
dan usianya, kami melihat beliau sebagai jurulatih terbaik yang akan membantu
pasukan kebangsaan meraih kejayaan.
“Kerjaya beliau bersama
beberapa pasukan kebangsaan, dalam pasukan belia dan skuad utama serta beberapa
kelab yang beliau latih menunjukkan pengalaman beliau yang sangat banyak dalam
etika kerjanya.
“Kami tidak sabar untuk
bekerjasama dengan Vingada dan harapnya menemui kejayaan baru,” kata Tunku
Ismail.
Vingada yang digelar ‘The
Professor’ turut kenali sebagai seorang jurulatih yang mengamalkan corak
kejurulatihan serius, tegas dan dominan.
Ini kali pertama FAM kembali
menggunakan khidmat jurulatih asing selepas mendiang Bertalan Bicskei dari
Hungary yang dipecat pada September 2005.
“Selepas melihat ramai
jurulatih, tempatan dan juga luar melakukan kerja mereka, naluri saya
menyatakan Vingada adalah individu yang tepat untuk tugas ini. Saya mungkin
silap tapi hanya masa yang akan menentukan,” katanya.
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 8:45 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan