Jumaat, 5 Mei 2017

Malaysia tidak gentar

ARKIB : 28/12/2004
JURULATIH skuad kebangsaan, Bertalan Bicskei (kanan) mengarahkan anak-anak buahnya semasa menjalani latihan di Jakarta semalam menjelang pertemuan Malaysia dengan Indonesia pada separuh akhir bola sepak Piala Tiger di Stadium Senayan, hari ini.



JAKARTA - Skuad bola sepak negara akan mengharungi separuh akhir Piala Tiger malam ini tanpa rasa gentar walaupun Indonesia diletakkan sebagai pilihan dan akan bermain di `kandang' sendiri, kata jurulatih, Bertalan Bicskei, semalam.
Indonesia, kata jurulatih dari Hungary itu, adalah kuat tetapi Malaysia memiliki kemampuan yang sama dan juga ingin mencipta kemenangan.
``Pemain-pemain saya sudah bersedia. Saya tidak nampak mereka berasa gentar untuk menghadapi perlawanan esok (malam ini) mahu pun puluhan ribu penyokong tempatan yang akan hadir,'' katanya.
``Saya telah menyaksikan permainan Indonesia menerusi TV sebanyak empat kali dan Indonesia memang kuat, tetapi pada saya empat pasukan yang mara ke separuh akhir (termasuk Myanmar dan Singapura yang akan bertemu dalam satu lagi perlawanan esok) dan juga Thailand adalah sa-ma kuat,'' katanya.
Kesemua pasukan yang mara ke separuh akhir mempunyai ruang masa yang terlalu lama setelah tamat persaingan di peringkat kumpulan dan tanpa perlawanan kompetitif, rentak permainan masing-masing boleh berubah - sama ada semakin baik atau merosot.
Bagaimanapun, bagi Bicskei anak-anak buahnya telah bersedia kerana mereka telah menjalani latihan dan mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad Olimpik negara dalam `tempoh senggang' itu.
``Saya memilih skuad Olimpik kerana mereka lebih baik daripada sesetengah pasukan dalam Liga M,'' katanya.
Bicskei turut ditanya mengenai perasaannya terhadap bencana alam yang melanda kedua-dua negara.
``Ini bukanlah kejutan yang bagus untuk kedua-dua pasukan. Sukar untuk menggambarkan perasaan saya. Tetapi hidup mesti diteruskan dan pemain-pemain saya dan Indonesia adalah profesional dan tahu mereka tidak boleh hilang tumpuan terhadap perlawanan,'' katanya.
``Mereka bukan sahaja perlu bermain untuk (memenuhi) harapan penonton-penonton di stadium tetapi juga seluruh rakyat.
``Saya ada menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada keluarga saya bertanyakan hal ini dan mereka lega kerana saya berada di Kuala Lumpur dan berada dalam keadaan selamat.
``Bicskei juga sedar bahawa anak-anak buahnya akan bermain di dalam stadium yang mungkin penuh tetapi dengan tenang mengatakan ia tidak sepatutnya mendatangkan masalah. ``Sudah tentu jumlah penyokong yang besar boleh membawa perbezaan tetapi pemain-pemain saya pernah bermain di depan ramai penonton dan mereka telah bersedia...saya harap dan mereka sepatutnya (telah bersedia). Indonesia akan bermain tanpa dua ayam tambatannya, Ilham Jaya Kesuma dan Boas Salossa akibat penggantungan tetapi Bicskei melihat kekuatan pasukan tuan rumah tidak akan terjejas kerana mereka mempunyai banyak pilihan, dan begitu juga Malaysia.
Ditanya sama ada dia akan berpuas hati dengan mencatat keputusan seri, Bicskei berkata semua pasukan mahu menang dan begitu juga Malaysia, bermakna anak-anak buahnya tidak akan mengamalkan corak bertahan malam ini lantas menjanjikan persaingan sengit. - Utusan.
Barisan kemungkinan Malaysia:
Syamsuri Mustafa, Rosdi Talib, Norhafiz Zamani Misbah, Kaironnisam Shahabuddin, Wan Rohaimi Wan Ismail, Liew Kit Kong, Shukor Adan, Fadzly Saari, D. Surendran, Amri Yahyah, Kalid Jamlus

Tiada ulasan:

Catat Ulasan