ARKIB : 22/12/2004
PERSIAPAN skuad bola sepak negara menghadapi perlawanan separuh akhir Piala Tiger bertemu Indonesia di Stadium Utama Senayan pada 28 Disember ini, terjejas apabila penyerang lincah, V. Saravanan terpaksa digugurkan terus daripada menyarung jersi kebangsaan.
Pihak pengurusan skuad negara tidak ada pilihan terpaksa mengetepikan Saravanan untuk tempoh tiga bulan.
Hasil ujian MRI (Magnetic Resonance Imaging) yang dijalankan ke atas ligamen lutut kanan Saravanan di Hospital Gleenagles Jalan Ampang semalam, mendapati kecederaan pemain itu amat serius.
Pakar perubatan yang menjalankan ujian ke atas penyerang Perak itu membuat keputusan Saravanan terpaksa menjalani pembedahan lutut kanan dalam tempoh terdekat ini.
Jika tidak, Saravanan mungkin boleh melupakan terus karier bola sepak untuk selama-lamanya.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Saravanan tidak akan beraksi pada saingan separuh akhir pertama di Stadium Utama Senayan pada 28 Disember dan juga perlawanan kedua skuad kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 1 Januari depan.
Jurulatih kebangsaan, Bertalan Bicskei ketika mengesahkan mengenai perkara itu melahirkan rasa kecewa dan hampa terpaksa melupakan khidmat Saravanan.
``Khabar buruk buat saya, ketika Malaysia berdepan dengan tugas penting bertemu Indonesia, saya kehilangan seorang lagi penyerang.
``Saya tidak ada pilihan dan akur atas nasihat doktor agar Saravanan perlu menjalani pembedahan dan berehat dalam tempoh tiga bulan,'' ujarnya ketika ditemui semalam.
Malang bertimpa buat Bicskei sesudah kehilangan penyerang Kedah, Akmal Rizal Rakhli gara-gara kecederaan, kini beliau terpaksa melupakan khidmat Saravanan pula.
Pemain itu tercedera pada lutut kanan selepas berlaga dengan penjaga gol Thailand, Kosin Hathairitanakool pada perlawanan terakhir Kumpulan B, 14 Disember lalu.
Dia yang dimasukkan pada babak kedua menjadi nadi menerusi dua gerakannya membolehkan rakan sepasukannya, Muhammad Khalid Jamlus menjaringkan dua gol sewaktu Malaysia menewaskan penyandang juara 2-1 untuk layak ke separuh akhir.
Bagaimanapun selepas aksi menarik itu, Saravanan terpaksa dikeluarkan ketika dia terhenjut-henjut selepas berlaga dengan penjaga gol Thailand.
Bicskei jelas tidak dapat menyembunyikan rasa kecewanya terpaksa mengetepikan Saravanan ketika Malaysia amat menagih khidmat pemain itu dalam usaha untuk menewaskan Indonesia.
``Dia (Saravanan) adalah seorang penyerang yang bijak dan lincah. Gandingannya dengan Khalid cukup serasi dan menjadi nadi kejayaan Malaysia menewaskan Thailand.
``Skuad Malaysia jelas pincang dengan ketiadaan Saravanan tetapi apa boleh buat ini adalah hakikat yang terpaksa saya hadapi,''ujarnya.
Jurulatih dari Hungary itu terpaksa akur dengan nasihat doktor perubatan betapa Saravanan terpaksa dibedah secepat mungkin.
Ketika nama Saravanan terpaksa disisihkan daripada skuad yang akan berlepas ke Jakarta Sabtu ini, skuad negara tidak boleh memanggil pemain lain menggantikan tempat penyerang Perak itu.
Mengikut peraturan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) kata Bicskei, pemain yang cedera tidak boleh diganti dengan pemain lain.
``Saya terpaksa memikirkan pemain lain dalam skuad yang ada untuk mengambil alih tempat Saravanan,'' tambahnya.
Menurutnya, tiga pemain iaitu D. Surendran, Mohd. Ivan Mohd. Yusof dan Mohd. Nor Ismail adalah antara calon terbaik untuk mengambil alih tempat Saravanan.
Dalam tempoh lima hari menjalani latihan menjelang pertemuan dengan Indonesia, Bicskei terpaksa mengubah strategi untuk melihat keberkesanan tiga pemain tersebut memperkukuhkan bahagian serangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan