Ditunda lagi
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmeto.com.my
KONFEDERASI Bolasepak Asia
(AFC) sekali lagi menunda aksi Kelayakan Piala Asia 2019 antara Korea Utara dan
Malaysia yang sepatutnya berlangsung pada 8 Jun ini di Pyongyang ke tarikh baru
iaitu 5 Oktober depan.
Menerusi kenyataan yang
dikeluarkan badan induk itu, keputusan penangguhan kali kedua dibuat atas
faktor ketegangan geopolitik yang sedang dihadapi Korea Utara ketika ini sekali
gus mengundang kebimbangan mengenai isu keselamatan di Republik itu.
"Tarikh baru perlawanan
bagi kedua-dua pasukan ialah 5 Oktober 2017, berdasarkan kesesuaian kalendar
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
"AFC terpaksa mengambil
kira faktor keselamatan berikutan situasi semasa di ibu negara Korea Utara buat
masa ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Penangguhan ini adalah yang
kedua selepas perlawanan asal yang dijadualkan pada 28 Mac lalu dipinda kepada
8 Jun ini ekoran masalah hubungan diplomatik kedua-dua negara yang tegang
susulan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam di Lapangan
Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.
Menerusi laporan Arena Metro
sebelum ini, FAM sudah mengemukakan rayuan memohon agar AFC mengubah venue
perlawanan itu ke gelanggang berkecuali.
Permohonan gelanggang
berkecuali bukan perkara baru dalam arena bola sepak kerana negara seperti
Israel, Palestin, Syria dan Arab Saudi pernah dibenarkan bermain di gelanggang
berkecuali atas sebab tertentu sebelum ini.
Bagaimanapun, penangguhan kali
kedua ini pastinya memberi kelegaan kepada skuad negara bagi melakukan
persiapan sekucupnya lebih-lebih lagi dengan kehadiran pengendali baru, Nelo
Vingada yang akan memulakan tugasnya pada 25 Mei ini.
Menerusi keputusan itu,
Malaysia akan hanya membuat persediaan berdepan Lubnan pada 13 Jun ini dengan
Stadium Larkin bakal menjadi gelanggang pertemuan pertama Harimau Malaya itu.
SUMBER-Artikel ini disiarkan
pada : Rabu, 17 Mei 2017 @ 8:00 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan