Sabtu, 27 Mei 2017

Aksi skuad negara longlai



 
ARKIB : 31/03/2005
Aksi skuad negara longlai
Pemain Singapura Razaleigh Khalid (kiri) cubamenghalang pergerakan pemain Malaysia, D. Surendran pada perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras malam tadi. - Gambar MOHD. NOOR AMIN.

MALAYSIA 0 Pilihan Singapura 0

Oleh AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR - Bayangan awal untuk melihat aksi cemerlang skuad bola sepak kebangsaan pada Sukan Perpaduan Islam di Arab Saudi minggu depan tampak longlai setelah hanya mampu mencatat keputusan seri 0-0 dengan pilihan Singapura pada perlawanan persahabatan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) di sini, semalam.

Persembahan yang kurang mantap dengan ketumpulan jentera serangan dibarisi oleh Mohd. Fadzli Shaari, Mohd. Nor Ismail dan Mohd. Ivan Yusof untuk meledakkan jaringan ketika berada di depan pintu gol lawan sememangnya sudah dijangkakan.

Ketiadaan Hairuddin Omar, Indra Putra Mahayuddin, Muhammad Khalid Jamlus dan Akmal Rizal Rakhli di bahagian serangan amat dirasakan sambil barisan serangan anak didik jurulatih Bertalan Bicskei yang menjadi sandaran sukar untuk meledakkan jaringan.

Menilai aksi sepanjang perlawanan berlangsung sudah dapat membayangkan betapa anak didik Bicskei pasti sukar untuk menyaingi kehebatan dua pasukan pilihan Kuwait dan Maghribi yang akan bersaing dengan Malaysia dalam Kumpulan C di Taif, selain Pakistan.

Pilihan Singapura yang menggandingkan pemain yang mewakili pasukan negara itu pada kejohanan Piala Tiger seperti Itimi Dickson dan Lionel Lewis mampu mengekang setiap gerakan yang diatur oleh skuad kebangsaan.

Peluang terbaik untuk mencipta jaringan awal milik skuad kebangsaan hampa apabila Mohd. Fadzli Saari melakukan kesilapan ketika berdepan dengan penjaga gol, Hassan Abdullah Sunny pada minit ke-15.

Pada minit ke-32 giliran Liew Kit Kong pula hampa melihat sepakan kencangnya meliar keluar begitu juga dengan Ivan dan Idris Karim yang mendapat peluang terhidang di depan pintu gol ditanduk keluar selepas itu.

Pada babak kedua pula, Bicskei memasukkan Khairulza Azmi, Mohd. Arsyah Mohd. Ayob dan D. Surendran bagi memantapkan jentera serangan namun segalanya tidak menjadi.

Tanpa ada aksi menarik dan percubaan yang mampu menggugat benteng pertahanan pelawat menamatkan aksi yang cukup membosankan dan mendapat ejekan segelintir peminat yang berada di stadium.

Skuad kebangsaan akan mengharungi satu lagi perlawanan persahabatan menentang pasukan Liga Super Pulau Pinang di Stadium Shah Alam, malam Sabtu ini sebelum berlepas ke Arab Saudi pada 4 April.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0331&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iKqRgYnZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan