Jumaat, 5 Mei 2017

Berjuang habis-habisan - Rosdi

ARKIB : 14/12/2004
KETUA pasukan Malaysia, Rosdi Talib meminta rakan sepasukannya bermain bermati-matian bagi memastikan kemenangan ke atas Thailand pada perlawanan Kumpulan B bola sepak Piala Tiger di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Rosdi berkata, perlawanan menentang musuh tradisi itu bakal menentukan nasib pasukan negara kerana jika seri atau tumpas, bermakna impian Malaysia untuk ke separuh akhir punah.
``Perlawanan esok memang kita mahu menang. Ia penentu hidup mati pasukan negara. Kalau semangat serta persembahan yang dipamerkan sebagaimana ketika separuh masa kedua menentang Myanmar malam tadi, saya yakin kita boleh menang,'' katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Pemain pertahanan kiri yang beraksi untuk Pahang dalam Liga Super musim 2004 itu berkata, Malaysia perlu mengekang kehebatan jentera tengah Thailand yang diterajui ketua pasukannya, Therdsak Chaiman.
``Thailand memang unggul di bahagian tengah. Therdsak perlu kita awasi dan kita juga jangan mempersia-siakan peluang yang ada serta tidak mengambil mudah kerana ini bukannya perlawanan peringkat kelab tetapi perlawanan membabitkan pasukan negara,'' katanya.
Rosdi diberi kepercayaan menjadi ketua pasukan oleh jurulatih, Bertalan Bicskei sejak perlawanan pertama di bawah kendaliannya lagi ketika Malaysia mengalahkan Thailand 2-1 pada perlawanan persahabatan di Bangkok Ogos lepas.
Beliau berkata, kemenangan pada perlawanan persahabatan itu memberikan sedikit kelebihan buat Malaysia, yang dikejutkan Myanmar 1-0 malam tadi selepas membelasah Timor Leste 5-0 dan Filipina 4-1 dalam dua perlawanan awal.
Pada perlawanan Piala Tiger 2002 di Singapura, Malaysia menundukkan Thailand 3-1 dalam perlawanan kumpulan dan Rosdi menyifatkan pasukan Thailand ketika itu lebih handal berbanding skuad sekarang, yang kebanyakannya dibarisi pemain muda.
Sementara itu, pengurus pasukan negara Datuk Seri Dr Ibrahim Saad menyeru peminat bola sepak tempatan agar datang ke stadium memberikan sokongan tidak berbelah bagi buat skuad negara.
``Segala-galanya belum berakhir lagi. Semua pemain memerlukan sokongan daripada penyokong. Adalah satu perkara yang mendukacitakan apabila mereka mendapati lebih ramai penyokong Myanmar daripada penyokong kita malam tadi.
``Jangan biarkan perkara itu berulang lagi. Sokongan amat diperlukan tambahan pula kita berjuang untuk menempah tiket ke separuh akhir.
``Memang kita kecewa kalah dengan Myanmar tetapi yang pasti pemain sendiri hendaklah berjuang untuk memastikan matlamat berjaya dicapai,'' katanya.
Rosdi turut mengakui pengalaman beraksi menentang Myanmar malam tadi ibarat beraksi di gelanggang lawan kerana lebih mendengar teriakan dan gema sorakan penyokong lawan berbanding penyokong sendiri.
``Doakanlah kemenangan kami,'' kata Rosdi yang setakat ini berjaya membantu Malaysia mara ke separuh akhir kedua-dua Piala Tiger yang disertainya pada 2000 di Thailand dan 2002 di Singapura/Indonesia. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan