ARKIB : 09/01/2005
MENAMATKAN kempen Piala Tiger 2004 di tempat ketiga kini menjadi `perkara wajib' bagi skuad bola sepak kebangsaan, keputusan yang mungkin dapat mengurangkan sedikit rasa kecewa peminat yang begitu meluap.
Jurulatih kebangsaan, Bertalan Bicskei mengakui hanya tempat ketiga mampu mengurangkan segala kecaman dan cemuhan yang dilempar oleh peminat ketika ini.
``Kita tidak boleh berada di tempat keempat. Menang dengan Myanmar untuk menduduki tempat ketiga kini saya anggap wajib.
``Itu sahaja keputusan yang perlu kita capai untuk meredakan sedikit keadaan,'' katanya di Shah Alam, semalam.
Ditanya sama ada permintaan itu boleh memberi lagi tekanan kepada pasukannya, Bicskei berkata keputusan seumpama itu juga yang amat dimahukan oleh semua pemainnya.
``Semua pemain juga mahukan tempat ketiga. Apa lagi ini adalah peluang mereka untuk membalas dendam kekalahan kepada Myanmar dalam peringkat kumpulan.
``Ikrar mereka ini memberi keyakinan kepada kami untuk mencatat yang terbaik pada aksi terakhir ini,'' katanya.
Skuad negara menerima kritikan hebat daripada seluruh peminat selepas gagal melangkah ke perlawanan akhir ketika kejayaan hampir dicapai.
Malaysia tunduk kepada Indonesia dengan agregat 5-3. Mereka menang 2-1 di hadapan 100,000 penyokong fanatik Indonesia di Jakarta tetapi kecundang besar 4-1 di Bukit Jalil.
``Kami sudah lupakan kekecewaan itu dan kini kami tumpukan kepada perlawanan dengan Myanmar.
``Ia juga adalah perlawanan balas dendam kami. Bagi saya, kami sebenarnya mampu menang ke atas pasukan itu ketika itu tetapi itulah bola sepak, siapa yang buat silap akan terima padah,'' kata pemain tengah, Fadzli Saari.
Myanmar menewaskan skuad negara 1-0 di peringkat kumpulan dan kemudian muncul juara Kumpulan B.
Bagaimanapun pasukan itu tewas agregat 8-5 kepada Singapura pada separuh akhir.
Semua pemain kembali berhimpun semalam dan memulakan latihan di sebelah petang di Wisma FAM, Kelana Jaya.
Skuad negara akan berlepas ke Singapura Rabu ini.
Pertemuan tempat ketiga antara Malaysia dengan Myanmar akan berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura 15 Januari ini.
Perlawanan akhir Singapura-Indonesia pula berlangsung 16 Januari di Stadium Nasional Singapura.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan