Isnin, 29 Mei 2017

Pemain muda perlu sisih 'kuda tua'



Ahad, 28 Mei 2017 @ 5:33 PM
 
Oleh Nazri Abu Bakar bhsukan@bh.com.my RAMLI Junit. - Foto Nazri Abu Bakar.

MELAKA: Bekas pemain Olimpik 1980, Ramli Junit, melahirkan kebimbangan skuad negara akan terus mempertaruhkan 'kuda tua' selagi pemain muda tidak berdaya saing dan memiliki kesungguhan tinggi untuk merampas posisi pemain veteran sedia ada.

      Menurutnya, ada pemain lebih berpengalaman melihat pemain muda seperti selesa berada di bangku simpanan dan tidak memiliki komitmen merampas kedudukan dalam kesebelasan utama pasukan.

      Katanya, beberapa faktor lain juga perlu diambil kira termasuk kepercayaan kepada pemain muda agak kurang untuk diberi ruang beraksi pada perlawanan penting sehingga membantutkan kemunculan pemain berpotensi.

      "Jika kita sentiasa memikirkan kekalahan besar jika hanya bergantung kepada pemain muda, bermakna selamanya kebergantungan kepada pemain berusia 30-an dan bakat pemain muda tidak mampu diketengahkan lebih awal.

      "Usia 22 hingga 29 adalah lingkungan umur sesuai untuk mewakili negara. Skuad Olimpik 1982 juga dalam kalangan usia sedemikian. "Malah, saya berusia 25 tahun termasuk pemain lain seperti Khlaid Ali dan Bakri Ibni dalam purata usia itu," katanya.

Ramli berkata, rakan karibnya Allahyarham Moktar Dahari yang juga penyerang sensasi dan legenda bola sepak negara berada pada puncak prestasinya sekitar usia 26 hingga 29 tahun yang menyaksikan kehebatannya sukar dikawal mana-mana pertahanan lawan.

Katanya faktor usia, kepantasan dan prestasi semasa perlu diambil kira dengan pengalaman sebenarnya boleh diperoleh jika pemain muda diberi lebih pendedahan dalam banyak perlawanan dan aksi persahabatan.

Menurutnya, peminat mahu melihat lebih ramai pemain muda tampil beraksi di pentas antarabangsa walaupun tidak dinafikan 'kuda tua' diperlukan dalam skuad kebangsaan. Beliau berkata, pemain veteran juga seharusnya mendidik dan mencurah pengalaman kepada pemain muda dalam misi membantu penghasilan pemain.

BH Sukan sebelum ini melaporkan pembabitan ramai pemain senior berusia lebih 30 tahun dalam skuad Harimau Malaya menimbulkan persepsi pasukan itu dibarisi 'kuda tua' yang seolah-olah menafikan peluang pemain muda

sumberSelanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/287353

Tiada ulasan:

Catat Ulasan