Ahad, 28 Mei 2017

Skuad bola negara ke suku akhir



ARKIB : 14/04/2005

TAIF - Dua gol dalam masa tiga minit menerusi Mohd. Fadzli Shaari membawa skuad negara layak ke suku akhir acara bola sepak pada Sukan Perpaduan Islam di sini, semalam.

Jaringan di penghujung babak kedua itu sekaligus membolehkan Malaysia bukan sahaja menewaskan Pakistan 2-0 malah turut muncul juara Kumpulan D menerusi undian.

Pihak penganjur terpaksa melakukan undian itu setelah Malaysia mempunyai sama mata dan jaringan dengan satu lagi pasukan dalam kumpulan itu iaitu Maghribi.

Dengan undian berpihak kepada Malaysia, skuad negara akan bertemu naib juara Kumpulan B iaitu Syria pada suku akhir yang akan berlangsung di sini pada Jumaat ini.

Jelas perlawanan menentang Pakistan semalam lebih banyak dikuasai skuad negara tetapi banyak mensia-siakan peluang yang terhidang.

Bagaimanapun ketika penyokong Malaysia hampir putus harapan, Fadzli bijak menggunakan ketinggiannya untuk menanduka masuk gol pertama negara pada minit ke-71.

Gol berpunca daripada sepakan sudut yang ditanduk Lim Chan Yew tetapi ditampan penjaga gol Pakistan dan bola muntah sebelum ditanduk Fadzli dengan mudah.

Malaysia tidak perlu menunggu lama untuk menambah jaringan selepas itu apabila Ivan Yusuf melakukan hantaran lintang di depan pintu gol Pakistan sebelum ditampan Mohd. Nor Ismail bagi membolehkan Fadzli merembat leret bola ke dalam gawang pada minit ke-74.

Sementara itu, kontinjen negara meraih satu perak dan tiga lagi pingat gangsa semalam menerusi acara taekwondo dan angkat berat.

Gangsa taekwondo menerusi Mohd. Afifuddin Omar dalam kategori bantamweight dan angkat berat kategori 56kg menerusi Mohd. Faizal Baharum dalam acara snatch (115kg) dan keseluruhan (250kg).

Faizal bagaimanapun meraih perak dalam kategori clean & jerk dengan angkatan seberat 135kg. - Utusan

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0414&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iMw1gFJE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan