Rabu, 17 Mei 2017

'Usah serabut, pergi saja'



Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
 
Kuala Lumpur: “Kalau AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) sudah luluskan, maknanya venue di Pyongyang selamat dan Malaysia harus pergi. Jangan kusutkan kepala, sebaliknya mulakan persiapan segera.”

Demikian pandangan bekas pemain kebangsaan Khalid Ali yang mahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menaruh kepercayaan penuh dengan kredibiliti AFC yang menetapkan Pyongyang sebagai venue aksi pertama dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2019.

Katanya, sebagai badan induk yang menguruskan pertandingan bola sepak di benua ini sudah pasti AFC lebih arif mengenai keputusan mereka meneruskan aksi di Korea Utara berbanding menukarkannya di gelanggang berkecuali.

“Bagi saya, kita kena hormati keputusan AFC yang sudah berpuluh tahun mengendalikan pertandingan bola sepak di Asia.

“Saya percaya kajian terperinci sudah dilakukan sebelum mereka memutuskan untuk mengadakan perlawanan di sana (Pyongyang). Dalam soal ini, kita semua kena letak kepercayaan 100 peratus kepada mereka dan tidak perlu mempersoalkan banyak perkara.

“Lagipun, AFC dan pihak kerajaan kedua-dua negara sering berhubung bagi mendapatkan maklumat terkini terutama mengenai tahap keselamatan. Sekiranya tidak selamat, kerajaan pasti tidak mengizinkan pasukan kita ke negara itu,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Menerusi laporan akhbar ini, Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak setuju dengan keputusan AFC itu yang disifatkan tidak selamat dan mengancam keselamatan pasukan.

Keputusan AFC berkenaan meletakkan FAM pada situasi serba salah dengan Malaysia boleh dikenakan tindakan disiplin jika enggan beraksi.

“Kalau FAM tetap berdegil tak mahu pergi, saya bimbang bola sepak negara akan mengalami detik hitam kerana kita boleh digantung FIFA. Baik pergi saja dan bentuk segera pasukan untuk menghadapi aksi penting itu,” katanya.

Sumber-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2017 @ 2:19 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan