ARKIB : 12/12/2004
|
MALAYSIA kini selangkah lagi kaki untuk mara ke separuh akhir dan jaminan tempat itu hanya akan terlaksana jika anak buah jurulatih Bertalan Bicskei berjaya menewaskan Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Skuad kebangsaan tidak banyak pilihan dan mesti menumpaskan Myanmar untuk mengesahkan tempat ke separuh akhir lebih awal.
Keputusan seri atau kalah sekadar mengundang laluan penuh berliku kerana terpaksa berdepan dengan pasukan pilihan, Thailand dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Selasa ini yang akan menentukan untung nasib skuad kebangsaan.
Sesudah menewaskan Timor Leste 5-0 dan Filipina menjadi mangsa kelmarin dengan kemenangan 4-1, semangat skuad bola sepak kebangsaan bertambah berkobar untuk membenam Myanmar pula.
``Lupakan dulu kemenangan itu. Kita masih belum selamat. Masih ada dua halangan yang perlu dilalui bertemu Myanmar malam esok (malam ini) dan perlawanan terakhir dengan Thailand,'' ujar Bicskei dalam sidang akhbar semalam.
Jurulatih dari Hungary itu mengakui hanya kemenangan ke atas Myanmar bakal mengesahkan tempat ke separuh akhir tanpa mengambil kira pertemuan terakhir dengan Thailand.
Menurutnya, dua kemenangan awal ke atas Timor Leste dan Filipina menyuntik semangat pemain untuk meneruskan aksi cemerlang apa lagi berdepan dengan kekentalan Myanmar.
``Myanmar adalah pasukan yang hebat dan lihat bagaimana mereka menyekat Thailand dengan keputusan seri 1-1 semalam (kelmarin).
``Kali ini pemain saya bakal berdepan dengan ujian paling getir dan tidak mudah sewaktu bertemu Timor Leste dan Filipina,'' ujarnya.
Apa pun sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam perlawanan itu, Bicskei menuntut pemain mempamerkan semangat tinggi lebih da-ripada aksi pada dua pertemuan sebelum ini.
``Reputasi dan semangat pemain begitu tinggi jika ini yang dikekalkan rasanya kita tidak menghadapi masalah untuk menewaskan Myanmar,'' tegas Bicskei.
Begitupun jurulatih itu tersentak dengan kecederaan yang menimpa pemain sayap, Chan Wing Hoong yang hampir pasti tidak diturunkan beraksi dengan Myanmar.
Katanya, kecederaan buku lali kanan nampak serius dan beliau tidak mahu mengambil risiko untuk menurunkan pemain itu.
``Saya belum pasti siapa antara calon terbaik mengisi tempat dia (Wing Hoong),'' katanya.
Dalam pada itu wajah ceria buat Bicskei apabila penyerang harapannya, Muhammad Khalid Jamlus akhir menemui sentuhan jaringan gol.
Dua gol Khalid yang bakal beraksi untuk Selangor musim depan pada minit ke-67 dan ke-77 membuktikan pemain itu masih mempunyai tindakan penyudah yang baik.
``Khalid adalah penyerang yang baik dan perlawanan dengan Filipina membuktikan dia masih ada tindakan penyudah jika mendapat peluang,'' ujarnya.
Bicskei juga turut membayangkan barisan yang sama sewaktu membenam Timor Leste dan Filipina akan menjadi sandaran untuk menewaskan Myanmar.
Sementara itu, jurulatih itu turut mengharapkan kehadiran lebih ramai penonton untuk memberi sokongan kepada pemain kebangsaan.
Katanya, sokongan padu itu penting untuk menyemarakkan semangat pemain.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan