Azmi Hassan
ISU keselamatan pasukan Harimau
Malaya membuatkan FAM berada dalam
ISU keselamatan pasukan Harimau
Malaya membuatkan FAM berada dalam keadaan serba-salah untuk melepaskan pemain
beraksi di Pyongyang, Korea Utara. GAMBAR HIASAN/UTUSAN
18 Mei 2017 12:00 PM
AddThis Sharing Buttons
Share to FacebookShare to
TwitterShare to WhatsAppShare to TelegramShare to EmailShare to More
KEBIMBANGAN Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) mengenai perlawanan bola sepak Pusingan Akhir Kelayakan
Piala Asia 2019 pada 8 Jun ini yang akan berlangsung di Pyongyang, Korea Utara
mempunyai asas memandangkan keadaan yang agak tegang di Semenanjung Korea pada
ketika ini.
Tegang bukan disebabkan oleh faktor
hubungan diplomatik di antara Kuala Lumpur dan Pyongyang tetapi oleh kerana
beberapa siri ujian peluru berpandu yang dilakukan oleh Korea Utara dan tindak
balas Amerika Syarikat (AS) demi mengekang tindak-tanduk pemimpin utama iaitu
Kim Jong-un yang disifatkan oleh Presiden Donald J. Trump sebagai seorang yang
tidak berpengalaman dan terlalu muda untuk memimpin sebuah negara.
Begitu jua apabila Presiden
FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menilai isu keselamatan pasukan Harimau Malaya
dengan berhati-hati yang membuatkan FAM berada dalam keadaan sukar dan
serba-salah untuk melepaskan pemain beraksi di Pyongyang, sikap berhati-hati
itu bersandarkan senario geopolitik semasa yang tidak menentu.
“Persoalannya, apa yang harus
kita lakukan? Saya sememangnya mahukan perlawanan ini diadakan di venue neutral
demi keselamatan para pemain negara,” titah baginda lagi dalam satu kenyataan
yang dikeluarkan FAM beberapa hari lalu.
Hakikatnya kerajaan Malaysia
hanya mengeluarkan arahan nasihat perjalanan dengan tidak mengenakan sekatan
perjalanan rakyat Malaysia ke Korea Utara dan dalil ini telah digunakan oleh
Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk menolak rayuan FAM supaya lokasi
perlawanan diadakan di tempat berkecuali.
AFC menegaskan lokasi
perlawanan hanya boleh ditukar jika salah satu daripada tiga faktor dapat
dipenuhi. Faktor pertama adalah lokasi perlawanan digantung sama ada oleh
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atau AFC seperti yang berlaku
terhadap Afghanistan, Yemen, Syria dan Iraq. Faktor kedua adalah stadium tempat
perlawanan telah digantung kerana tidak memenuhi piawaian dan faktor terakhir
adalah sekatan perjalanan dikenakan oleh kerajaan.
Secara asasnya AFC membuat
keputusan mengikut peruntukkan yang dibenarkan tetapi perlu diungkit kembali
perlawanan yang sepatutnya diadakan pada 28 Mac lalu ditunda kerana pada ketika
itu hubungan di antara Kuala Lumpur dan Pyongyang berada dalam keadaan agak
tegang akibat pembunuhan abang kepada Jong-un iaitu Kim Jong Nam pada 13
Februari lepas.
Sebab itu dihujahkan keputusan
AFC yang hanya bersandarkan tiada arahan sekatan perjalanan ke Korea Utara oleh
kerajaan Malaysia terhadap rakyatnya dianggap tidak begitu kuat kerana keadaan
geopolitik rantau itu pada ketika ini adalah begitu genting sekali. Penahanan
Kim Hak-song seorang warga Amerika oleh pihak berkuasa Korea Utara dua minggu
lalu atas tuduhan mengintip adalah manifestasi bagaimana sensitifnya keadaan di
sana.
Walaupun setakat ini empat
rakyat Amerika telah ditahan oleh pihak berkuasa Korea Utara dan armada kapal
perang mereka bersama-sama dengan angkatan tentera dari Korea Selatan dan Jepun
mengadakan latihan ketenteraan berhampiran semenanjung tersebut, Washington
masih tidak mengeluarkan arahan sekatan lawatan.
Semenanjung Korea walaupun
belum berada di ambang peperangan, hakikatnya apabila berhadapan dengan dua
pemimpin seperti Trump dan juga Jong-un, apa jua keputusan yang diambil oleh
kedua-dua pemimpin ini tidak memeranjatkan kerana terbukti tindakan luar dugaan
sering dilakukan kedua-dua mereka.
Dilemanya adalah jika FAM
mengambil keputusan untuk tidak bertandang ke Pyonyang, maka kemenangan 3-0
akan diberikan kepada pasukan Korea Utara. Malah FAM juga boleh didenda
sehingga AS$50,000 dan paling kritikal jika AFC membuat keputusan untuk menegah
Harimau Malaya bertanding dalam perlawanan bola sepak anjuran mereka pada masa
hadapan.
Hasrat Tunku Ismail sebagai
Presiden FAM adalah begitu jelas kerana bagi baginda keselamatan skuad Harimau
Malaya adalah menjadi keutamaan. Sebab itu, baginda menegaskan keputusan akhir
hanya akan diputuskan oleh kerajaan kerana faktor geopolitik tidak boleh
diketepikan begitu sahaja. Ini disebabkan ia berkait rapat dengan setiap
tindakan yang bakal diambil oleh Pyongyang.
Sebagaimana Kuala Lumpur dapat
menepis cabaran yang berpunca daripada tekanan pelbagai negara dalam hal
peristiwa pembunuhan Jong Nam kerana Malaysia tidak mahu terjebak dalam
percaturan geopolitik kuasa besar, maka besar kemungkinan juga keputusan sama
ada untuk membenarkan skuad Harimau Malaya bertandang ke Korea Utara atau pun
sebaliknya mesti berlandaskan kepentingan keselamatan rakyat Malaysia.
Walaupun keputusan yang bakal
dibuat oleh kerajaan mesti mengambil kira percaturan geopolitik rantau
tersebut, harapannya ia tidak digunakan untuk memenuhi agenda negara tertentu.
Kegusarannya adalah kehadiran Harimau Malaya boleh digunakan sebagai alat
propaganda oleh Pyongyang untuk mempamerkan keterbukaan mereka menerima rakyat
Malaysia walaupun sebelum ini hubungan diplomatik kedua-dua negara agak
genting.
Tetapi jika keputusan
sebaliknya dibuat, maka AS dan sekutunya boleh mengguna pakai keputusan
tersebut dengan menuduh kerajaan Korea Utara tidak boleh dipercayai yang
memaksa Malaysia mengambil keputusan drastik tersebut.
Hakikatnya, apa jua keputusan
yang bakal dibuat Kuala Lumpur, pasti disambar oleh pihak berkepentingan untuk
memenuhi agenda geopolitik masing-masing.
sumberArtikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/rencana/utama/dilema-skuad-harimau-malaya-1.482783#ixzz4hRlsn4xZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan