Jumaat, 26 Mei 2017

Jafri mahu pikat Kim Swee



Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
MUHD. JAFRI tidak akan melepaskan peluang merebut tempat dalam skuad B-22 negara.
PENYERANG muda Pulau Pinang, Muhd. Jafri Firdaus Chew tidak akan mensia-siakan panggilan menyertai kem latihan pusat skuad bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan selama 10 hari bermula Isnin depan di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya.

Jelas Muhd. Jafri, tempoh tersebut adalah masa untuk dia menambat hati pengendali baharu skuad yang turut dikenali sebagai Projek Sukan SEA 2017 (KL2017), iaitu Datuk Ong Kim Swee yang dilantik menggantikan jurulatih import, Frank Bernhardt.

“Saya gembira kerana masih diberi kepercayaan untuk mewakili skuad B-22 negara. Tanggungjawab ini tidak akan disia-siakan kerana saya akan bekerja keras pada sesi latihan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama,” kata Muhd. Jafri ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sebagai rekod, seramai 26 pemain dipanggil oleh Kim Swee untuk menjalani latihan pusat sebagai persediaan menghadapi pusingan kelayakan kojohanan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Bangkok, Thailand pada Julai depan serta dan KL2017 pada Ogos nanti.

Selepas menjalani latihan selama 10 hari di Wisma FAM, pasukan yang dahulu dikenali sebagai Harimau Muda akan terbang ke China untuk menjalani perlawanan persahabatan dengan skuad B-22 China, skuad simpanan Guangzhou R & F dan skuad simpanan Guangzhou Evergrande.

Mengulas lanjut, pemain berusia 20 tahun itu percaya skuad B-22 mungkin akan menampilkan taktikal berbeza dan lebih kemas di bawah Kim Swee berbanding era latihan yang diterapkan oleh Bernhardt.

“Ketika bersama jurulatih Bernhardt, kami banyak bermain secara hantaran jauh. Mungkin jurulatih baharu (Kim Swee) memiliki ramuan tersendiri untuk membawa pasukan mencapai misi meraih pingat emas Sukan SEA nanti.

“Saya percaya keserasian antara pemain bakal menjadi faktor kejayaan kerana rata-rata pemain yang dipilih untuk mengikuti kem latihan pusat kali ini telah bersama sejak dua tahun lalu,” katanya lagi.

Bagi saingan kelayakan Kejua­raan B-23 AFC 2018 di Bangkok pada 19 hingga 23 Julai nanti, Malaysia diletakkan dalam Kumpulan H bersama Thailand, Indonesia dan Mongolia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0527&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iEJNAgKd
Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan