Ahad, 28 Mei 2017

Pemain pamer aksi terbaik



ARKIB : 20/04/2005

SEPANG - Walaupun turun tanpa beberapa pemain utama akibat kecederaan selain komitmen untuk Piala AFC, skuad kebangsaan telah mempamerkan prestasi yang sangat baik di Arab Saudi memandangkan mereka tiada pengalaman bermain di peringkat antarabangsa, kata jurulatih bola sepak kebangsaan, Bertalan Bicskei.

``Saya gembira dengan prestasi pemain. Mereka melayakkan diri menjadi lapan pasukan terbaik, pertama kali dalam sejarah bola sepak Malaysia,'' kata Bicskei kepada para pemberita setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini, semalam sekembalinya dari Jeddah bagi menyertai Sukan Perpaduan Islam.

Walaupun skuad Malaysia gagal melayakkan diri ke peringkat separuh akhir pada kejohanan di Arab Saudi itu, Bicskei yakin beliau telah mendapat barisan terbaik setakat ini.

Perlawanan suku akhir pada kejohanan itu merupakan pencapaian terbaik pasukan bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa selepas memenangi pingat gangsa pada Sukan Asia di Tehran, Iran pada 1972.

Malaysia melangkah ke suku akhir apabila mendahului kumpulan D setelah seri tanpa jaringan ketika menentang Magribi pada 11 April dan menang 2-0 ke atas Pakistan dua hari kemudian.

``Ia merupakan pendedahan yang baik kepada pemain muda kita terutama pemain bawah 23 tahun. Kejohanan antarabangsa berikut yang diberi tumpuan ialah Sukan SEA tahun ini dan Sukan Asia Doha tahun depan,'' kata jurulatih dari Hungary itu.

Skuad kebangsaan beraksi tanpa pemain pertahanan dan penyerang terbaik seperti Khalid Jamlus, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, V. Saravanan, D. Surendran, Indra Putra Mahayuddin dan Rosdi Talib.

Bicskei bagaimanapun mengakui bahawa Malaysia masih memerlukan penyerang berkaliber untuk memperkukuhkan skuad. - Bernama

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0420&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iO3c1mic
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan