HAMIDIN
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
Petaling Jaya: Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan sesetengah pihak
yang mengaitkan pemilihan separuh kelompok pemain berusia lebih 30 tahun
ditentukan pengurusan tertinggi FAM sebaliknya dicadangkan penolong jurulatih kebangsaan
Tan Cheng Hoe.
Menurut Setiausaha Agungnya,
Datuk Hamidin Mohd Amin, dakwaan skuad Harimau Malaya dibarisi pemain ‘kuda
tua’ tidak tepat sama sekali.
Jelasnya, hanya sembilan pemain
sudah melepasi usia 30 tahun dan dilabel sebagai kuda tua manakala selebihnya
17 pemain lain berusia di bawah linkungan 30 tahun iaitu tujuh pemain dalam
usia 22-25 tahun dan 10 pemain dalam lingkungan usia 26-29 tahun.
“Pemilihan pemain bukan
ditentukan oleh pengurusan tertinggi FAM seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya
ia senarai yang dicadangkan Cheng Hoe.
“Jadi peminat, penyokong dan
bekas pemain perlu faham dengan situasi semasa dan tidak sepatutnya berterusan
membangkitkan persoalan serta kritikan terhadap 26 pemain yang dipilih itu,”
katanya semalam.
Menerusi pendedahan Arena Metro
sebelum ini, keputusan FAM memanggil hampir separuh pemain berusia lebih 30
tahun menimbulkan pelbagai kritikan dan tohmahan dari peminat serta pemerhati
bola sepak tempatan.
Mereka menyalahkan kepimpinan
baru FAM yang diterajui Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila menyenaraikan skuad
‘kuda tua’ yang dibimbangi menjadi bahan ‘lauk-pauk’ Lubnan dalam saingan
Kelayakan Piala AFC 2019 di Stadium Larkin, 13 Jun ini.
Ujar Hamidin, ketua jurulatih
baru negara, Nelo Vingada seorang jurulatih yang meminati pemain muda dan
beliau sendiri akan memantau perkembangan skuad itu untuk diserapkan ke dalam
skuad kebangsaan pada masa akan datang.
“Cuma untuk perlawanan pertama
bertemu Lubnan, Vingada tidak mempunyai masa yang secukupnya untuk menilai
pemain dan menggunakan gabungan pemain sedia ada yang dirasakan terbaik buat
masa ini menerusi pemantauan pembantunya, Tan Cheng Hoe.
“Anda perlu bersabar dan jika
belum apa-apa pun pelbagai kritikan berterusan dilemparkan, kita tidak akan ke
mana. Semua kena faham, kita sedang dalam proses untuk melakukan perubahan ke
arah lebih positif.”
Sumber-Artikel ini disiarkan
pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 8:05 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan