Selasa, 30 Mei 2017

Aksi skuad negara tidak bermaya



ARKIB : 10/06/2005

PULAU PINANG - Melihat kepada persembahan hambar dan tidak bermaya skuad bola sepak kebangsaan menentang Singapura kelmarin ternyata para pemain kebangsaan belum mencapai tahap untuk menyarung jersi negara.

Perlawanan persahabatan menentang Singapura itu seolah-olah memberi gambaran bahawa pasukan kita diketengahkan hanya sekadar untuk memberi mereka peluang ``menyertai perlawanan bertaraf antarabangsa''.

Percaturan jurulatih skuad kebangsaan Bertalan Bisckei ternyata tidak menjadi apabila Malaysia tewas buat kali kedua kepada Singapura dalam perlawanan secara persahabatan.

``Apa yang menjadi masalah ialah pemain Malaysia tidak konsisten. Mereka bermain dengan baik dalam satu permainan tetapi prestasi turun mendadak dalam perlawanan berikutnya,'' kata Bisckei sebagai mengulas corak permainan skuad negara.

Pada perlawanan itu, Malaysia cuma mendapat satu gol secara ``nasib'' apabila memperoleh sepakan penalti dan kecundang 1-2 kepada Singapura.

Apa yang mendukacitakan ialah sepakan penalti yang diambil oleh Nizaruddin Yusoff begitu lemah sehingga mudah dibaca oleh penjaga gol Lionel Lewis untuk menampan bola.

Namun maruah pasukan diselamatkan Mohamad Arsyah Ayob yang bertindak pantas untuk merembat bola.

Nizaruddin harus dilihat sebagai pemain yang tumpul kerana melepaskan tiga peluang keemasan untuk menyumbat gol walaupun cuma berdepan dengan penjaga gawang.

Sebenarnya, jika Malaysia bermain dengan rentak pantas, pasukan itu mungkin boleh mengalahkan Singapura tetapi corak permainan Malaysia seolah-olah terlalu defensif dan sering bermain dalam kawasan sendiri tanpa menumpukan serangan.

Bisckei hanya dapat membuat satu kesimpulan - iaitu barisan serangan Malaysia masih tumpul dan gagal membuat penyudahan yang baik walaupun mempunyai peluang terbaik.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu menyalahkan anak-anak buahnya secara terus-terang tetapi menyatakan tumpuannya kini ialah melatih skuad bawah 23 tahun bagi persiapan Sukan SEA di Manila pada November ini. - Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0610&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_07.htm#ixzz4icdAoYok
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan