ARKIB : 30/12/2004
|
|
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menghantar aduan secara rasmi kepada Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) dan Konfiderasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung tahap keselamatan yang tidak memuaskan semasa saingan separuh akhir pertama Piala Tiger di Jakarta, kelmarin.
Naib Presiden FAM, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad berkata, aduan itu akan dihantar secepat mungkin dan berharap tindakan susulan diambil berikutan insiden liar penonton yang membaling pelbagai objek termasuk botol yang mengandungi air masih berlaku di Stadium Gelora Bung Karno, Senayan.
``Ini bukan kali pertama, saya sudah beritahu banyak kali yang saya mahukan keselamatan pemain dijaga. Dalam mesyuarat pengurus pun sudah banyak kali saya beritahu... mereka (AFF) sebelum ini sudah berjanji tahap keselamatan akan dijaga tetapi tidak menepatinya,'' katanya dalam sidang media di Petaling Jaya, semalam.
Katanya, semasa perjalanan pergi ke stadium, bas yang dinaiki pemain terpaksa berhenti beberapa kali kerana sikap liar penyokong Indonesia itu, termasuk memaki-hamun pemain Malaysia.
Beliau yang juga pengurus pasukan kebangsaan meluahkan rasa kecewa apabila pemain dan pegawai Malaysia terpaksa menunggu pihak keselamatan membawa mereka masuk ke bilik persalinan secara berperingkat-peringkat selepas perlawanan tamat kerana tindakan penonton yang membaling botol.
``Kami terpaksa menunggu polis membawa kami masuk ikut kumpulan kerana kekurangan anggota polis. Dalam bilik persalinan pula, kami terpaksa menunggu lebih kurang satu jam setengah... kami tidak dibenarkan menaiki bas kerana takut ada peminat yang bertindak ganas,'' katanya.
Beliau berkata berikutan tindakan membaling botol yang dilakukan oleh penonton lawan, pemain negara, Amri Yahyah yang sepatutnya melakukan sepakan penjuru dilayangkan kad kuning oleh pengadil kerana dikatakan cuba melengah-lengahkan masa permainan.
Insiden itu diburukkan lagi apabila seorang penyokong Malaysia luka serta bengkak bahagian bawah mata terkena balingan botol berisi air.
Katanya seramai 100 penyokong Malaysia kemudiannya dibawa oleh pegawai pertandingan berlindung dalam bilik media semasa perlawanan masih berlangsung kerana bimbang perkara yang lebih serius berlaku.
Sementara itu, beliau berharap penyokong pasukan negara akan datang beramai-ramai menyaksikan perlawanan separuh akhir kedua antara Malaysia dan Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Tiket menyaksikan perlawanan berharga RM15 akan dijual kepada orang ramai bermula Jumaat ini di Pintu Kuning, Stadium Nasional Bukit Jalil pada pukul 11 pagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan