Jumaat, 26 Mei 2017

Indra, Hairuddin diketepikan

Oleh AMRAN MULUP  
KUALA LUMPUR - Hajat jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Bertalan Bicskei untuk mendapatkan khidmat dua penyerang utama Pahang, Indra Putra Mahayuddin dan Hairuddin Omar tidak kesampaian.

Nama kedua-dua pemain tersebut terpaksa diketepikan daripada senarai 30 pemain skuad kebangsaan yang akan mula menjalani latihan Ahad ini bagi menghadapi Sukan Perpaduan Islam di Arab Saudi, bulan depan.

Kedua-dua pemain adalah di antara 11 pemain dari Pahang dan Perak yang terpaksa diketepikan kerana terlibat dalam Kejohanan Piala AFC bermula 9 Mac ini.

Tiga lagi pemain pula menjalani ujian pemilihan bersama kelab divisyen dua England, Bournemouth. Mereka ialah Mohd. Fadzli Shaari, Syamsuri Mustafa dan Lim Chan Yew.

Bicskei berkata, beliau tidak ada pilihan kecuali mengetepikan Indra Putra, Hairuddin serta pemain Perak itu kerana pembabitan Pahang dan Perak dalam Kejohanan Piala AFC.

``Memang mulanya nama mereka dalam senarai. Setelah berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta pengurus kedua-dua pasukan ini, saya bersetuju nama mereka diketepikan ke Arab Saudi,'' kata Bicskei di sini, semalam.

Dalam saingan Piala AFC, juara Piala FA musim lalu, Perak diletakkan dalam Kumpulan D bersama Sun Hei (Hong Kong), Tampines (Singapura) dan Valencia (Maldives).

Juara Liga Super, Pahang pula beraksi dalam Kumpulan E bersama Happy Valley (Hong Kong), Home United (Singapura) dan New Radiant (Maldives).

Jurulatih dari Hungary itu mengakui agak terkilan kerana tidak dapat menyenaraikan Indra Putra dan Hairuddin bagi memantapkan jentera serangan.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C bersama-sama Maghribi, Kuwait dan Pakistan dalam acara bola sepak temasya di Jeddah itu.

Mengikut senarai 30 pemain yang dikeluarkan semalam, sebahagian besar pemain yang beraksi dalam Piala Tiger dikekalkan.

Penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli, yang baru pulih daripada kecederaan, turut dipanggil bagi memantapkan pasukan ini.

Selain itu, pemain Johor FC, Eddy Helmi, yang diketepikan oleh Bicskei daripada skuad Piala Tiger kerana masalah disiplin, kembali mendapat kepercayaan.

Dalam senarai tersebut juga terdapat 18 muka baru yang dipanggil buat pertama kali menjalani latihan.

Agak mengejutkan apabila dua pemain veteran Idris Karim dan B. Rajanikandh yang pernah bermain sewaktu di bawah bekas jurulatih kebangsaan Wan Jamak Wan Hassan pada Piala Tiger 1996 turut mendapat kepercayaan.

Pemilihan itu dibuat berdasarkan pemerhatian dan penilaian Bisckei dalam kempen Liga Perdana dan Liga Super musim ini.

Kata jurulatih itu, beliau bersama pembantunya, Nasir Yusof dan Lim Chuan Chin mendapati ia adalah yang terbaik dapat dikumpul.

Bicskei yakin gandingan skuad Piala Tiger dan muka baru akan dapat membentuk pasukan yang lebih mantap.

Beliau menambah, pemain yang akan melapor diri mulai Ahad ini akan menjalani latihan tiga kali seminggu tetapi mereka akan dibenarkan pulang pada hujung minggu untuk mewakili pasukan masing-masing dalam Liga Perdana dan Liga Super dan kemudian kembali menyertai skuad kebangsaan.

BARISAN PEMAIN:

Mohd. Farid Dewan (MPPJ), Khairul Zal Azmi, Mohd. Nizam Abu Bakar, Marzuki Yusof, Mohd Suffian Abdul Rahman (Telekom); Zainuddin Ariffin, Mohd. Ivan Yusoff, Khairi Zainuddin, Mohd. Khaironnisam Sahabuddin, Durahim Jamaluddin, Mohd. Anis Faron (Perlis); Arysan Ayob (Sabah); S. Nantha-kumar, Mat Saiful Mohamad, Azuan Othman (P. Pinang), Akmal Rizal Rakhli, Liew Kit Kong, Victor Andrag (Kedah); Muhammad Khalid Jamlus, D. Surendran, Mohd. Shukor Adan, Nazrul Ewan, Ahmad Tarmini Saiban (Selangor); Mohd. Safee Sali (K. Lumpur); Idris Karim, Rezal Zambery, B. Rajanikandh, Azizon Kadir (N. Sembilan); Eddy Helmi (Johor FC); Norfazly Alias (Terengganu)

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0304&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iAyIy53e
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan