Sabtu, 27 Mei 2017 @ 11:08 PM
Oleh Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my
BEKAS pengendali skuad
kebangsaan, B Sathianathan. - Foto fail NSTP/Goh Thean Howe
KUALA LUMPUR: Bekas pengendali skuad
kebangsaan, B Sathianathan mengakui betapa keringat pemain muda begitu
diperlukan dalam skuad Harimau Malaya bagi membentuk pasukan kebangsaan yang
lebih mantap.
Ketua jurulatih FELDA United FC itu
berkata, skuad negara memerlukan tenaga pemain muda yang berbakat dan
berkemahiran tinggi yang mana jika diadun dengan pemain senior, ia akan menjadi
satu kombinasi mantap buat pasukan itu kembali 'menunjukkan taring' di pentas
antarabangsa.
"Jika dilihat pada pasukan negara-negara
yang berjaya, kita dapat saksikan kombinasi pemain muda dan pemain senior
membarisi pasukan itu. "Namun, Harimau Malaya gagal mengikut acuan itu
kerana kita kekurangan pemain muda berbakat untuk disenaraikan dalam skuad
kebangsaan.
"Kita sendiri boleh lihat pemain
muda yang beraksi dalam liga tempatan kurang menyerlah sehingga tidak dapat
beraksi dalam kesebelasan utama. Jika ada yang beraksi pun, mereka gagal menyumbat
gol untuk pasukan.
"Oleh itu, kemahiran dan pengalaman
menjadi sandaran untuk pengendali skuad kebangsaan memilih pemain dan atas
dasar inilah, kita saksikan muka sama sahaja yang dipanggil mewakili Harimau
Malaya ketika ini," katanya ketika dihubungi BH Sukan, hari ini.
Semalam, BH Sukan melaporkan pembabitan
ramai pemain senior yang berusia lebih 30 tahun dalam skuad Harimau Malaya
menimbulkan persepsi betapa pasukan itu dibarisi 'kuda tua' yang seolah-olah
menafikan peluang pemain muda.
Sathianathan berkata, 'perjudian' untuk
meletakkan pemain muda yang belum lagi terbukti kemampuan di pentas
antarabangsa juga boleh dilihat sebagai satu tindakan yang kurang wajar dan
'membunuh diri.'
"Cuba bayangkan kita letakkan pemain muda
yang tiada pengalaman beraksi untuk perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019
bertemu pasukan seperti Korea Utara dan Lubnan.
"Jika mereka dibelasah
teruk, sudah pasti ini memalukan skuad negara sekali gus menjejaskan keyakinan
mereka untuk beraksi pada masa akan datang. Jadi, pengalaman mengatasi
segala-galanya memandangkan hanya kuda tua yang kita ada buat masa ini,"
katanya.
SUMBER-Selanjutnya di :
http://www.bharian.com.my/node/287137
Tiada ulasan:
Catat Ulasan