Ahad, 7 Mei 2017

Sah, Ibrahim Saad letak jawatan



 
ARKIB : 11/02/2005
Oleh AIZAWATI AHMAD
DR. IBRAHIM SAAD.

KUANTAN - Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semalam mengesahkan peletakan jawatan Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad sebagai pengurus pasukan bola sepak kebangsaan.

Beliau berkata, peletakan jawatan itu tidak ada kaitan dengan kes pengunduran Datuk Dell Akbar Khan sebagai Setiausaha Agung persatuan itu.

Sebaliknya, Tengku Abdullah berkata, keputusan itu disebabkan beban tugas yang digalas oleh Dr. Ibrahim yang dilantik sebagai Pengerusi Panel Penasihat Sukan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada Julai tahun lalu.

``Beliau mempunyai tanggungjawab yang baru sebagai ahli Panel Penasihat Sukan kepada Kementerian Belia dan Sukan.

``Beliau memang pernah menyuarakan hasrat meletakkan jawatan sebelum perkara-perkara yang berlaku kebelakangan ini,'' katanya.

Tengku Abdullah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Negeri Pahang di Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, semalam.

Sebelum ini, FAM telah dikejutkan dengan peletakan jawatan oleh Dell sebagai Setiauasaha Agung FAM bersama penolongnya, Datuk Yap Nyim Keong yang membuat keputusan untuk bersara awal kerana mendapat tawaran daripada Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF).

Tengku Abdullah turut menolak dakwaan bahawa peletakan jawatan tersebut mempunyai kaitan dengan prestasi buruk yang di pamerkan oleh pasukan kebangsaan pada kejohanan Piala Tiger yang berlangsung, baru-baru ini.

``Tidak ada kena mengena dengan pasukan kebangsaan. Ia tidak ada kaitan langsung dengan peletakan jawatan pegawai-pegawai, ini hak dia orang sendiri dan tidak ada desakan langsung,'' tegasnya.

Bagaimanapun, Dr. Ibrahim masih kekal dengan jawatan yang disandangnya sekarang sebagai Naib Presiden FAM.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, jawatankuasa FAM akan bermesyuarat pada 15 Februari ini bagi membincangkan tindakan selanjutnya yang perlu diambil berhubung kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh Dr. Ibrahim, Dell dan Yap.

Menurutnya lagi, setakat ini, FAM masih belum ada calon-calon yang sesuai untuk dikemukakan bagi mengisi kekosongan jawatan-jawatan berkenaan.

``Setakat ini, tidak ada nama yang disebut-sebut, kita akan buka jawatan ini kepada sesiapa sahaja. Sesiapa sahaja boleh memohon, kita akan iklankan selepas 15 haribulan ini, rombakan besar akan berlaku,'' ujarnya.

Beliau berharap, bakal penyandang jawatan-jawatan itu kelak akan dapat memberi komitmen yang sepenuhnya kepada FAM dan mampu menyumbangkan sedikit sebanyak cadangan berhubung pembaharuan di dalam arena sukan bola sepak negara.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4gOif2qnX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan