Ahad, 28 Mei 2017

Skuad kebangsaan harap seri



ARKIB : 11/04/2005

TAIF - Skuad bola sepak kebangsaan turun untuk perlawanan pertama dalam Sukan Perpaduan Islam menentang Maghribi di sini malam ini dengan harapan sekurang-kurangnya mencatat seri ke atas pasukan dari utara Afrika itu.

Kemenangan ke atas Maghribi boleh dianggap satu bonus selain boleh menjamin kemaraan ke suku akhir dari Kumpulan D serta mampu menamatkan perlawanan peringkat kumpulan di tempat teratas.

Di atas kertas, Malaysia seharusnya tidak menghadapi masalah menewaskan Pakistan pada perlawanan terakhir pada Rabu. Penarikan diri Kuwait pada saat akhir mencerahkan peluang skuad negara untuk sekurang-kurangnya berada antara dua pasukan teratas kumpulan untuk layak ke suku akhir.

Kesempatan menyaksikan perlawanan pembukaan antara Maghribi dengan Pakistan semalam yang berkesudahan Maghribi menang 2-0 memberi kelebihan kepada skuad negara untuk menganalisis kekuatan dan kelemahan kedua-dua pasukan.

Jurulatih negara, Bertalan Bicskei mahu pun pengurus pasukan, Mohamad Bakar melahirkan rasa optimis mereka akan layak ke suku akhir dengan syarat Malaysia menang ke atas Pakistan.

``Perlawanan dengan Maghribi memang sukar dan kita tidak boleh mengharapkan keputusan yang baik ke atas mereka. Tetapi kita perlu menang ke atas Pakistan untuk menjamin tempat kita ke suku akhir,'' kata Mohamad.

Begitupun berdasarkan keputusan perlawanan Maghribi-Pakistan kelmarin, Malaysia perlu tidak menanam rasa terlalu yakin dapat menewaskan Pakistan kerana kemenangan 2-0 Maghribi dengan semangat juang yang ditunjukkan Pakistan walaupun tewas boleh menjadi satu amaran kepada skuad negara.

Ditambah dengan barisan Malaysia yang tidak memiliki ramai pemain utama pada temasya ini, skuad negara pastinya mengharungi situasi perit untuk menewaskan kedua-dua pasukan berkenaan terutama Maghribi.

Sandaran skuad negara kini terletak di bahu dua penyerang, Mohd. Fadzli Saari dan Mohd. Nor Ismail selepas ketiadaan tiga penyerang utama kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli, Mohd. Khalid Jamlus dan Mohd. Amri Yahyah. - Utusan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0411&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4iMUHr13K
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan