Kuala Lumpur: Bekas jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe yang akan menggalas tugas selaku penolong jurulatih Harimau Malaya membayangkan tidak banyak perubahan boleh dilakukan dalam barisan pemain bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia 2019 bulan depan.
Menurutnya dengan tempoh singkat sebelum aksi pertama Kumpulan B menentang Korea Utara pada 8 Jun dan Lubnan lima hari kemudian, beberapa faktor perlu diambil kira.
“Kalau melihat kepada masa yang kita ada sekarang nampak agak singkat jadi saya fikir mungkin tidak banyak perubahan boleh dilakukan.
“Sudah pasti prestasi semasa pemain akan diambil kira serta pengalaman. Tapi tidak mustahil beberapa muka baru juga akan diberi peluang, tapi semua bergantung kepada keputusan ketua jurulatih,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Akhbar ini melaporkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih memerlukan masa untuk mencari jurulatih baru Harimau Malaya yang benar-benar layak serta mengikut kemampuan kewangan badan induk itu.
FAM mengakui mereka berdepan kekangan kewangan sehingga Presiden Tunku Ismail Sultan Ibrahim terpaksa mengeluarkan duit sendiri bagi mendapatkan jurulatih terbaik.
Selepas rancangan untuk membawa masuk bekas jurulatih Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Mario Gomez tidak kesampaian kerana masalah kontrak, FAM mengesahkan calon jurulatih dari Portugal berada dalam radar mereka.
Walaupun tempoh sebelum aksi kelayakan semakin singkat, Cheng Hoe belum mendapat arahan untuk melaporkan diri selepas mendapat pelepasan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) pada 28 April lalu.
“Saya belum memulakan tugas, masih menunggu panggilan FAM,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan