Jumaat, 5 Mei 2017

Malaysia waspada jumpa Filipina

ARKIB : 10/12/2004

IGAUAN buruk sewaktu Filipina menconteng malu mengejutkan skuad bola sepak dengan kemenangan 1-0 di temasya Sukan SEA 1991 masih terpahat dibenak fikiran rakyat Malaysia.
Kenangan pahit yang sudah berlalu 13 tahun lalu pastinya tidak akan berulang buat kali kedua menjelang pertemuan skuad kebangsaan yang akan bertemu Filipina di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Pastinya kesebelasan utama yang akan diturunkan oleh jurulatih kebangsaan, Bertalan Bicskei adalah barisan terbaik untuk melebur impian Filipina daripada terus memalitkan malu.
Kekalahan Filipina kepada Myanmar dengan jaringan 1-0 memberi amaran kepada anak didik Bicskei bahawa kehadiran lawan tidak boleh dipandang remeh.
Awal-awal lagi jurulatih dari Hungary itu mengingatkan pemain agar tidak leka dan memandang rendah keupayaan skuad Filipina.
Menurutnya, walaupun Filipina tewas 1-0 kepada Myanmar dalam aksi pertama namun perlawanan malam ini masih tidak boleh dianggap mudah.
``Filipina melepaskan hanya satu gol dan ini membuktikan mereka cukup kental dan boleh membuat kejutan,'' ujarnya semalam.
Sekalipun nampak yakin untuk mencatat kemenangan kali kedua ke atas Filipina, jurulatih dari Hungary itu tetap membayangkan keresahan.
Keresahan jurulatih itu jika perlawanan menentang pendatang baru Timor Leste yang menyaksikan Malaysia mencatat kemenangan pertama berpesta gol 5-0 diambil kira, pastinya ia belum cukup melegakan.
``Bukan kerana lima jaringan menjadi perkiraan tetapi sebaliknya aksi gugup kesebelasan utama yang diturunkan khususnya pada babak pertama.
``Timor Leste jelas tidak sehebat pasukan pilihan Thailand namun ketumpulan jentera serangan dan kealpaan seketika bahagian tengah jelas merunsingkan,'' ujar Bicskei.
Lebih meresahkan jurulatih dari Hungary itu dengan aksi kurang bertenaga penyerangnya, Muhammad Khalid Jamlus yang mensia-siakan banyak peluang mencipta jaringan di depan pintu gol lawan.
Secara peribadi Bicskei tidak menolak keresahan jika aksi tersebut terus dikekalkan, pastinya sukar buat Malaysia untuk menewaskan Filipina.
Begitupun, Bicskei yakin pemain sudah menemui semangat semula dan berkobar-kobar untuk menebus kesilapan tersebut sesudah meledakkan lima jaringan membenam Timor Leste.
Jurulatih itu dijangka mengekalkan kesebelasan yang sama ketika skuad kebangsaan berpesta gol ke atas Timor Leste, kelmarin.
Gandingan benteng pertahanan pastinya dipelopori ketua pasukan, Rosdi Talib bergandingan dengan Khairunnisam Hussain, Norhafiz Misbah dan Wan Rohaimi Wan Ismail.
Bahagian tengah akan menggandingkan Liew Kit Kong, Muhammad Shukor Adan dan Mohd. Fadzli Saari yang masing-masing meledakkan satu jaringan ke atas Timor Leste serta dibantu oleh Chan Wing Hoong.
Bisckei juga dijangka mengekalkan penyerang Selangor, Mohd. Amri Yahyah yang meledakkan dua jaringan bergandingan dengan Khalid di bahagian serangan.
Bicskei berkata, beliau tidak mahu pemain-pemainnya terlalu leka dan memandang rendah keupayaan Filipina sekalipun pasukan itu tewas 0-1 kepada Myanmar kelmarin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan