Sabtu, 27 Mei 2017

Skuad bola tiada pengurus -- Sukan Perpaduan Islam



ARKIB : 16/03/2005

Oleh Johari Shawal
 KUALA LUMPUR - Pasukan bola sepak kebangsaan bagaikan `tidak terurus' menjelang Sukan Perpaduan Islam di Arab Saudi bulan depan apabila sehingga kini senarai akhir nama pemain belum diserahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN).

Malah pengurus pasukan ke Arab Saudi, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad melepaskan `jawatan sementara' itu pada saat akhir yang menjadikan keadaan tambah bercelaru.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini menyerahkan senarai awal 35 pemain kepada MSN untuk pendaftaran awal bagi memudahkan pihak penganjur temasya di negara Arab itu menguruskan atlet kontinjen Malaysia.

Untuk senarai akhir, hanya 22 pemain sahaja boleh didaftarkan bagi pertandingan itu.

Bagaimanapun sehingga semalam, senarai akhir pemain belum diterima. Perkara itu dikatakan memeningkan MSN untuk menguruskan segala perkara termasuk mendapatkan visa untuk atlet dan pegawai.

Tarikh tutup untuk menyerahkan senarai akhir pemain ialah 8 Mac lalu.

``Kami tidak tahu bagaimana kedudukan pasukan bola sepak ini. Sekarang pula, Datuk Ibrahim tidak lagi jadi pengurus pasukan. Mereka nampak tidak terurus,'' kata seorang pegawai MSN yang enggan dikenali.

Dr. Ibrahim sudah melepaskan jawatan pengurus pasukan kebangsaan tetapi ketika ini beliau masih memangku jawatan itu sehingga FAM menemui penggantinya.

``Senarai pemain yang kita (MSN) ada masih lagi 35 orang sedangkan hanya 22 pemain sahaja boleh didaftarkan.

``Tarikh tutup pula sudah berlalu. Segala urusan termasuk mendapatkan visa sudah terlalu lewat,'' katanya.

Pegawai itu menambah, kelewatan pasukan bola sepak menyerahkan senarai akhir pemain menjejaskan pentadbiran MSN terhadap kontinjen negara selain menyusahkan penganjur di Arab Saudi.

Pengarah Persediaan Atlet Antarabangsa MSN, Ahmad Shapawi Ismail enggan mengulas ketika ditanya mengenai masalah itu.

``Sekarang tarikh akhir sudah lepas dan FAM masih belum hantar senarai, kata Ahmad Shapawi.

Kelewatan mungkin berkaitan dengan masalah beberapa persatuan negeri yang enggan melepaskan pemain mereka.

Baru-baru ini jurulatih kebangsaan, Bertalan Bicskei `melenting' apabila persatuan negeri enggan melepaskan pemain yang disenaraikannya untuk ke temasya itu terutama pemain dari Perak dan Pahang.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iIUvQm9D
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan