Selasa, 30 Mei 2017

Piala Perdana MU: Malaysia naib juara di Pattaya



ARKIB : 29/05/2005
Daripada: BAZLI ABDUL RAHMAN

PATTAYA, Thailand - Malaysia gagal ke pusingan akhir bola sepak Piala Perdana Manchester United 2005 di Hong Kong, Julai nanti setelah tumpas 3-4 kepada Thailand dalam saingan peringkat Asia Tenggara di Stadium Sirinthorn di sini, semalam.

Begitupun, pasukan negara cuma tewas tipis menerusi penentuan tendangan penalti kepada pasukan tuan rumah dalam aksi akhir menentukan juara rantau ini.

Malaysia mempamerkan aksi bertenaga dalam perlawanan itu sehingga memaksa pasukan tuan rumah berkubu di tempat sendiri.

Menerusi lima penentuan sepakan penalti untuk menentukan juara itu, dua tendangan pertama mengikat kedua-dua pasukan dengan 2-2.

Dua gol Thailand itu dicipta oleh Premvut Wongdee dan Seeket Madputeh manakala Malaysia dihasilkan oleh Mohammad Saiful Azwan Jasni dan Muhammad Akmal Jaafar.

Selepas itu, Malaysia dan Thailand masing-masing gagal mencipta jaringan ketiga. Tendangan penalti ketiga oleh pemain Thailand, Attaphong Mesa berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol Malaysia, Mohamed Zahier Johan.

Tendangan penalti ketiga oleh pemain Malaysia, Mohammad Ikhram Ibrahim pula gagal menghasilkan gol selepas bola sepakannya terkena tiang.

Pemain Thailand, Piyachat Phomchak dan pemain Malaysia, Khairul Tarmizi Yusof masing-masing menjaringkan gol.

Dalam sepakan terakhir, ketua pasukan tuan rumah, Kroekrit Thawikan berjaya menghasilkan gol.

Malang buat Malaysia pula tendangan terakhir yang diambil oleh Abdul Hadi Aziz hanya terkena tiang.

Kegagalan Abdul Hadi menyaksikan para pemain tuan rumah bersorak meraikan kemenangan mereka.

Filipina pula melakukan kejutan apabila menewaskan Singapura 1-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4iYjRuMGg
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan