Jumaat, 26 Mei 2017

Jangan takut sejuk - Ibrahim



Oleh: AMRAN MULUP
MOHD. FADZLI SAARI (depan) dipilih untuk mengikuti latihan tiga minggu dengan kelab divisyen dua Liga England, Bournemouth FC bersama dua lagi pemain iaitu Syamsuri Mustafa dan Lim Chan Yew.

KUALA LUMPUR - Tiga pemain bola sepak kebangsaan Syamsuri Mustafa, Fadzli Saari dan Lim Chan Yew dinasihatkan jangan terlalu memikirkan soal makanan dan cuaca sejuk ketika menjalani latihan tiga minggu dengan kelab divisyen dua Liga England, Bournemouth FC.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, kedua-dua masalah tersebut perlu disisihkan oleh ketiga-tiga pemain kebangsaan jika mereka ingin berjaya serta memikat pengurusan kelab divisyen dua itu.

Menurutnya, keadaan cuaca sejuk dan soal makanan sering menjadi masalah dan penghalang kepada pemain bola sepak di Malaysia yang menyertai sesi latihan dengan kelab-kelab di Eropah.

``Kalau nak berjaya mereka kena kuatkan ketahanan mental untuk mengharungi keadaan cuaca sejuk di England, serta makanan.

``Sebagai pemain profesional dalam Liga Malaysia mereka terpaksa mengikut perubahan cuaca di England dan saya harap mereka dapat bertahan sepanjang tiga minggu di sana.

``Mereka adalah wakil Malaysia dan perlu mengharumkan nama negara yang penting mereka per

lu mengatasi masalah tersebut

dan menyakinkan pengurusan Bournemouth,'' ujarnya di sini, semalam.

Ketiga-tiga pemain kebangsaan tersebut yang berlepas ke London semalam menyertai latihan dengan Bournemouth FC di bawah Program Revolusi Bola Sepak Malaysia dengan kerjasama FAM serta Pergerakan Pemuda UMNO.

Pemergian mereka dengan pembiayaan sebanyak RM170,000 akan mengharungi sesi latihan selama tiga minggu.

Ibrahim berkata, beliau yakin ketiga-tiga pemain kebangsaan itu mampu mengharungi situasi tersebut selain dapat mempamerkan aksi menarik sepanjang berada dengan Bournemouth FC.

Beliau menegaskan, ketiga mereka menjadi duta kepada FAM dan kejayaan mereka di Bournemouth boleh membuka ruang kepada badan induk itu untuk menghantar lebih ramai pemain menjalani latihan dengan kelab-kelab di London.

Ujarnya, ketika ini di London cuaca amat sejuk dan boleh menjejaskan prestasi pemain kebangsaan.

Mengenai soal makanan pula kata Ibrahim, pihak penganjur telah menyediakan makanan yang sesuai dimakan oleh ketiga-tiga pemain kebangsaan sepanjang mereka berada di sana.

``Pihak penganjur sudah menyediakan makanan masakan Malaysia sepanjang tempoh tiga minggu mereka dengan Bournemouth FC,'' ujarnya.

Sementara itu ketiga-tiga pemain kebangsaan ketika ditemui sebelum berlepas ke London semalam berazam untuk memberikan aksi paling mantap sepanjang tempoh tiga minggu berada di London.

Walaupun mengakui akan berdepan dengan masalah cuaca sejuk yang mungkin boleh menjejaskan reputasi sepanjang sesi latihan namun mereka bertekad untuk mengetepikan soal tersebut.

Penjaga gol kebangsaan, Syamsuri Mustafa melahirkan keyakinan tidak akan mensia-siakan peluang beraksi di London sekalipun sekadar dengan kelab divisyen dua.

``Saya mahu penuhi impian ini dan setakat ini saya sudah cukup bersedia dari segi fizikal dan mental,'' ujar pemain berusia 24 tahun itu.

Buat pemain Pahang, Fadzli Saari yang pernah berlatih dengan kelab divisyen dua Jerman selama enam bulan pada 1999 berkata, beliau tidak menghadapi masalah dengan cuaca sejuk di London.

``Pengalaman saya di Jerman banyak membantu saya dan yang penting mental saya perlu kuat untuk bersaing dengan pemain kelab Bournemouth yang lain,'' ujarnya.

Sementara itu, Lim Chan Yew menegaskan dia akan memberikan persembahan terbaik sepanjang tempoh tiga minggu dengan kelab tersebut.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iAtFzErr
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan