Jumaat, 5 Mei 2017

Berehat enam bulan -- Saravanan jalani pembedahan esok

ARKIB : 23/12/2004

Oleh AMRAN MULUP

V. SARAVANAN (depan) menjalani rawatan fisioterapi di bawah pengawasan Dr. Rajah di klinik rawatan di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.



MASA depan karier bola sepak penyerang kebangsaan, V. Saravanan bagaikan `telur dihujung tanduk' gara-gara kecederaan ligamen lutut kanan yang dialaminya selepas berlaga dengan penjaga gol Thailand, Kosin Hathairitanakool pada perlawanan terakhir Piala Tiger Kumpulan B, 14 Disember lalu.
Khabar buruk buat penyerang kebangsaan itu apabila dimaklumkan dia perlu berehat hampir enam bulan selepas menjalani pembedahan yang akan dijalankan di Hospital Gleenagels, esok.
Penyerang Perak itu bagaikan tidak percaya apabila dimaklumkan mengenai perkara tersebut.
Apa yang bermain di fikiran pemain itu apabila mengenangkan masa depan karier bola sepaknya boleh disifatkan sudah sampai ke penghujung.
Tempoh rehat enam bulan satu jangka masa yang panjang yang memaksa dia terpaksa melupakan hasrat untuk menyarung jersi kebangsaan mengharungi saingan separuh akhir pertama Piala Tiger bertemu Indonesia pada 28 Disember ini.
Lebih merisaukan Saravanan mengenai peluangnya untuk menyarung jersi Pahang dalam kancah saingan Liga Super musim depan kini turut samar-samar.
``Kecederaan saya kali ini amat serius, sudahlah saya terpaksa melupakan hasrat bermain dengan skuad kebangsaan di Piala Tiger.
``Tetapi lebih merisaukan, dengan nasib saya dalam Liga Super kerana setakat ini saya belum mengikat sebarang kontrak sama ada dengan Perak, Selangor atau pun Pahang,'' ujar Saravanan ketika ditemui di Wisma FAM semalam.
Lebih mengecewakan buat Saravanan apabila dia terpaksa melupakan hasrat untuk membantu pasukan kebangsaan yang berdepan tugas penting bertemu Indonesia.
Ujarnya, semangatnya begitu tinggi selepas dia membantu rakan sepasukan Muhammad Khalid Jamlus menjaringkan dua gol membantu kemenangan mengejut Malaysia menewaskan Thailand 2-1 untuk mara ke separuh akhir.
``Saya kecewa tidak dapat menolong rakan-rakan yang cuba mencari kemenangan di Jakarta dan mungkin ini bukan rezeki saya.
``Inilah saat yang paling sukar untuk saya lupakan, entahlah apa untung nasib saya selepas menjalani pembedahan nanti,'' ujarnya lagi.
Namun atas nasihat doktor perubatan dan semangat yang diberikan oleh rakan-rakan sepasukan Saravanan yakin dapat pulih awal daripada tempoh enam bulan yang diramalkan.
Kelmarin, Saravanan menjalani pemeriksaan MRI (Magnetic Resonance Imaging) ke atas ligamen lutut kanannya di Hospital Gleenagles.
Hasil daripada pemeriksaan itu mendapati kecederaan ligamennya amat serius dan memerlukan dia menjalani pembedahan.
Walaupun dirundung malang tidak dapat menyertai skuad kebangsaan yang akan berlepas ke Jakarta Sabtu ini, Saravanan akan mendoakan kejayaan Malaysia menewaskan Indonesia dan seterusnya mara ke perlawanan akhir.
``Saya juga minta rakan-rakan dan peminat mendoakan saya pulih cepat serta dapat bermain balik,'' ujarnya.
Sebelum ini pemain itu pernah mengalami kecederaan sewaktu menyarung jersi kebangsaan sebanyak dua kali pada 2001 dan 2002.
Tetapi kecederaan yang dialami hanyalah kekejangan otot dan hanya menjalani rawatan serta pulih tidak sampai dua bulan.
Mengenai peluangnya bermain dengan Pahang musim depan, Saravanan berkata, dia telah memaklumkan mengenai kecederaan yang dialaminya kepada Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP).
``Mereka tidak memberi sebarang jawapan sama ada akan menawarkan kontrak kepada saya kerana saya tidak boleh bermain selama enam bulan,'' tambahnya lagi.
Saravanan sebelum ini dilaporkan berminat untuk menerima tawaran daripada Selangor mengikut jejak langkah rakannya Khalid tetapi menukar fikiran di saat-saat akhir selepas mendapat tawaran lumayan daripada Pahang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan