Sabtu, 27 Mei 2017

Jangan ajar anak buaya berenang - FAM



 
Jangan ajar anak buaya berenang - FAM
Oleh: RADHUAN HUSSAIN
TENAGA kejurulatihan Everton (dari kiri) Joseph Doyle, Ted Sutton dan James Porter akan mengendalikan klinik bola sepak di negara ini di bawah program Everton-Rakan Muda.

TEMERLOH - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana persatuan bola sepak negeri yang enggan memberi pelepasan kepada pemain mengikuti sesi latihan skuad kebangsaan.

FAM melaungkan amaran tidak akan bertolak ansur lagi sekiranya terdapat persatuan bola sepak negeri yang masih berdegil dan hanya mementingkan diri sendiri.

``Jangan mengajar anak buaya berenang, jangan pelawa kita buat sesuatu yang drastik...,'' itulah amaran Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah berhubung isu pelepasan pemain negeri menyertai skuad kebangsaan bagi menghadapi Sukan Perpaduan Negara Islam di Arab Saudi, 8 hingga 20 April ini.

Amaran Presiden FAM itu ditujukan kepada semua persatuan bola sepak (FA) negeri yang didapati berkeras melepaskan pemain masing-masing bagi menyertai skuad kebangsaan dalam mana-mana kejohanan antarabangsa.

Baginda menegaskan, pihak berkenaan perlu menanggung risiko daripada badan induk itu jika bertindak menghalang para pemainnya menjalani latihan skuad kebangsaan.

``Peraturan memang dah ada, jangan ajar anak buaya berenang dan jangan `pelawa' kita buat sesuatu yang drastik.

``Kita akan cuba menyesuaikan atau bertolak ansur, kadangkala FA negeri kata ada pelepasan (pemain) memang betul (ada), tapi ini skuad kebangsaan,'' tegasnya selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Temerloh di sini, semalam.

Turut hadir, Tengku Mahkota Pahang yang juga Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Sultan Ahmad Shah menyatakan demikian sewaktu ditanya pemberita mengenai kemelut dalaman FAM ketika ini terutama isu perbezaan pendapat antara pasukan negeri dengan pengurusan skuad kebangsaan berkaitan soal pemilihan pemain.

Sultan Ahmad Shah menjelaskan, sememangnya dari dulu lagi, keutamaan mestilah diberi kepada persediaan pembentukan sebuah skuad kebangsaan yang kuat bagi menyertai kejohanan antarabangsa.

``Perkara ini (keutamaan kepada skuad kebangsaan) tak boleh dipertikaikan maka kita mesti ada pasukan kebangsaan yang kuat untuk ke Arab Saudi. Bila skuad kebangsaan diutamakan, mereka (FA) kena lepaskan pemain.

``Kalau tidak ada (tidak lepaskan pemain), ada peraturan bahawa pemain akan digantung, ini berlaku juga di negara lain seperti England. Kita buat benda yang sama (gantung),'' tegas baginda.

Baginda mengakui kemelut itu timbul mungkin disebabkan salah faham.

Bagaimanapun, baginda memberi jaminan, FAM akan cuba merayu kepada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) supaya menangguhkan tarikh perlawanan membabitkan skuad negara pada Sukan Perpaduan Negara Islam nanti, bagi mengelak kesulitan.

``Kalau boleh kita rayu supaya mengkaji semula kalau boleh kita minta tangguh,'' titah baginda.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iGqKoB6Z
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan