Ahad, 28 Mei 2017

Malaysia dipukau kepantasan Syria



ARKIB : 17/04/2005

MALAYSIA 1
Ahmad Tharmini Saiban (83)

SYRIA 3
Mohamad Alhamwi (31)
Majad Alhaaj (39, 76)

Daripada JOHARI SHAWAL

TAIF - Jurulatih skuad bola sepak negara, Bertalan Bicskei mengakui barisan pertahanan pasukannya yang agak rapuh menjadi punca kekalahan anak-anak didiknya kepada Syria dalam aksi suku akhir di Stadium Raja Fahd pada Sukan Perpaduan Arab di sini awal pagi semalam (waktu Malaysia).

Bagaimanapun, kekalahan 1-3 itu tidak mengecewakan jurulatih dari Hungary itu yang secara umumnya berpuas hati dengan komitmen barisan kesebelasan negara.

``Pemain bermain baik hari ini, mereka mengawal bola dan menguasai permainan terutama barisan tengah yang cemerlang, tetapi masih tidak cukup bagi kita kerana tidak banyak percubaan dilakukan. Bola lebih banyak berlegar di tengah padang.

``Pemain Syria lebih pantas dan mereka memiliki kelebihan fizikal. Kesempatan itu mereka guna untuk menyerang balas,'' kata Bicskei selepas perlawanan.

Penyerang berbahaya Syria, Majad Alhaaj menjaringkan dua gol manakala satu gol lagi dihasilkan oleh Mohamad Alhamwi.

Gol tunggal skuad negara dijaringkan oleh pemain pertahanan, Ahmad Tharmini Saiban pada lewat permainan.

Skuad negara menguasai permainan terutama pada babak kedua tetapi barisan pertahanan sering leka dan gagal mengawal serangan Syria.

Mohamad Alhamwi meletakkan Syria di depan selepas merembat melepasi penjaga gol, Mohd. Syamsuri Mustafa pada minit ke-31 dan lapan minit kemudian, kesilapan Syamsuri yang lambat bertindak membolehkan Majad menolak masuk ke gawang untuk gol kedua Syria.

Malaysia berusaha bangkit dan menguasai permainan terutama di bahagian tengah yang diketuai Mohd. Shukor Adan dan Idris Karim tetapi umpanan mereka kepada Mohd. Nor Ismail dan Mohd. Fadzli Saari mudah dipintas oleh pertahanan Syria.

Syria lebih banyak bertahan pada babak kedua dan memperlahankan rentak permainan dan melakukan serangan balas apabila berkesempatan tetapi dalam usaha Malaysia memburu gol, kelekaan barisan pertahanan negara sekali lagi membawa padah.

Majaad merembat masuk gol ketiga Syria pada minit ke-76 dan sesudah gol ketiga itu, Syria berkubu di gawang sendiri cuba mempertahankan kelebihan jaringan.

Walaupun menguasai bola, barisan serangan negara masih tumpul dan gagal membuat percubaan ke pintu gol Syria.

Ketika permainan berbaki tujuh minit, Tharmini memberi semangat kepada rakan sepasukan apabila menjaringkan gol menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol Syria, Adnan Alhafez yang sebelumnya tidak banyak bekerja keras. - Utusan

MALAYSIA: Mohd. Syamsuri Mustafa, Mohd. Khairunisam Shahabudin, Lim Chan Yew, Ahmad Tharmini Saiban, Mohd. Fadzly Alias (Wong Sai Kong), Mohd. Shukor Adan, Idris Karim, Liew Kit Kong (Mohd. Arsyah Mohd. Ayob), Mohd. Ivan Yusoff (Mohd. Faizal Esahar), Mohd. Nor Ismail, Mohd. Fadzli Saari

SYRIA: Adnan Alhafez, Abdel Hadi Kalaf, Hamzeh Itoni, Hasan Hamid Mostafa, Abdol Razak Hosin, Jalal Alabdi, Samer Nahlous, Abdol Kader Dekeh, Bourhn Sahyani, Mohamad Alhamwi, Majaad Alhaaj.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0417&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iN2TFG5a
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan