Selasa, 30 Mei 2017

Pemain janji aksi terbaik



ARKIB : 08/06/2005

SEBAHAGIAN daripada pemain bola sepak kebangsaan menjalani latihan di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang menjelang pertemuan dengan Singapura hari ini. - Gambar Sazali Che Din.

PULAU PINANG - Skuad kebangsaan yang tewas 2-0 kepada Singapura mahu mencatat kemenangan ke atas negara jiran itu sekali gus memulihkan imej negara pada pertemuan persahabatan kedua di Stadium Bandaraya, malam ini.

Pemain negara bertekad mempamerkan persembahan terbaik dengan menaruhkan aksi 120 peratus bagi memastikan kemenangan berpihak kepada skuad kebangsaan. Sehubungan itu, pemain negara turut mengharapkan sokongan padu peminat bola sepak supaya membanjiri stadium bagi merangsang semangat mereka berdepan dengan skuad Kota Singa itu.

Ketua pasukan negara, Mohd. Shukor Adan turut meminta rakan sepasukan komited untuk mempamerkan aksi menarik selain mengelak mengulangi kesilapan pada pertemuan lalu.

Dalam aspek itu katanya, rakan sepasukan perlu saling mengingati dan memotivasi sesama lain bagi memastikan perancangan dan strategi permainan dapat diterjemahkan dengan baik.

``Sememangnya kami (pemain) mahu menang dan untuk itu rakan-rakan sepasukan perlu bersepakat dan menanam persefahaman utuh bagi mengelak kekalahan buat kali kedua,'' katanya yang melihat peluang kedua-dua pasukan adalah seimbang.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar yang turut dihadiri Pengurus skuad negara, Mohamad Bakar dan jurulatih, Bertalan Bicskei di Hotel Sheraton, semalam.

Pemenang perlawanan tersebut bakal membawa pulang Piala Cabaran Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Mohd Shukor berkata, pemain sudah bersedia untuk berdepan dengan Singapura dan semangat mereka kini berkobar-kobar untuk menebus kekalahan lalu.

``Setelah kalah pada perlawanan pertama lalu, moral pemain tetap utuh, malah lebih bersemangat dan komited untuk memburu kemenangan, esok'' katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, meskipun ia merupakan perlawanan persahabatan tetapi penting kerana dikategorikan sebagai permainan gred A yang mampu mengubahkan kedudukan Malaysia dalam senarai Persatuan Bolasepak Asia (AFC).

Justeru, katanya, peluang beraksi di gelanggang sendiri perlu dimanfaatkan dengan kemenangan menerusi persembahan terbaik pemain di samping sokongan padu penyokong.

``Jumlah gol tidak penting kerana apa yang penting ialah kemenangan. Meskipun sekadar memenangi perlawanan dengan jaringan tipis, sudah cukup baik bagi skuad negara,'' katanya.

Sementara itu Bicskei yang tidak bercadang menukar taktikal permainan berkata, masa sudah suntuk untuk berbuat demikian sebaliknya akan menggunakan sepenuhnya pemain yang dimikili khususnya di barisan serangan.

Katanya, beliau tidak akan membuat perubahan drastik sebaliknya menukar strategi dan posisi pemain pada waktu permainan bagi memberi peluang kepada mereka beraksi. ``Pilihan rangkaian serangan adalah terhad dan akan gunakannya sepenuhnya khidmat mereka,'' katanya.

Beliau yang bimbang dengan aksi tidak menentu pemainnya itu mengharapkan mereka mempamerkan persembahan bermutu bagi mencapai kemenangan.

Selain itu katanya, moral pemain yang kini berada pada tahap terbaik perlu digunakan sepenuhnya untuk menebus kekalahan lalu.

``Pada perlawanan lalu, Singapura beraksi baik dan mereka layak menang. Namun pada pertemuan esok, saya mengharapkan pemain lebih baik daripada mereka (Singapura),'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0608&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iZwxZlDd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan