Ahad, 28 Mei 2017

Skuad khas mula tahun depan



ARKIB : 26/04/2005

Oleh A. Jailani Abdullah
PETALING JAYA - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan sasaran penubuhan pasukan khas kebangsaan dapat dilaksanakan sebelum bermulanya Liga Malaysia musim depan, tetapi setakat ini banyak perkara yang masih kabur terutamanya berhubung cara pengambilan pemain-pemain.

Keputusan untuk melaksanakan penubuhan skuad khas itu diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal FAM yang bermesyuarat selama kira-kira tiga jam di Wisma FAM semalam, yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad.

Mesyuarat itu turut dihadiri oleh Datuk Jamal Nasir, Datuk Soh Chin Aun, Mohamad Bakar, Che Ahmad Shafee dan M. Kuppan.

``Pada dasarnya kami telah bersetuju dengan cadangan itu.

``Pemain-pemain akan diambil dari pasukan-pasukan negeri atau kelab, tetapi mereka masih boleh bermain untuk negeri atau kelab masing-masing dengan syarat ketika itu pasukan kebangsaan tidak mempunyai tugasan,'' kata Dr. Ibrahim.

Cadangan menubuhkan skuad khas itu disuarakan oleh Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah baru -baru ini, dengan harapan penubuhannya dapat meningkatkan mutu persembahan pasukan negara di arena antarabangsa.

``Pemain-pemain yang terpilih nanti akan berpangkalan di FAM dan gaji mereka akan dibayar oleh FAM.

``Jika pasukan negeri atau kelab memerlukan khidmat mereka, pelepasan perlu diperoleh dari FAM kerana FAM merupakan majikan pemain-pemain itu.

``Dari segi logik banyak faedah yang akan didapati oleh pemain-pemain yang terpilih menganggotai pasukan itu. Saya juga melihat cara ini akan membantu melepaskan pasukan negeri atau kelab dari beban kewangan kerana mereka tidak perlu membayar gaji pemain-pemain itu tetapi masih boleh mendapatkan khidmat mereka,'' kata Dr. Ibrahim.

Bagaimanapun masih banyak perkara yang kabur mengenai cara pengambilan pemain-pemain dan ia gagal dijelaskan dalam sidang media semalam.

Menurut Dr. Ibrahim, FAM akan turut memanggil mana-mana pemain yang dilihat menyerlah ketika liga berlangsung dan ini menimbulkan persoalan apakah ia boleh dilakukan kerana pemain terbabit mempunyai kontrak dengan pasukan negeri atau kelab.

Apabila ditanya mengenainya, Dr. Ibrahim berkata: ``Isu mengenai kontrak itu akan dibincangkan kemudian. Tetapi dalam hal ini kita mahu mewujudkan situasi menang-menang''.

Dr. Ibrahim juga mengakui bahawa penubuhan pasukan khas itu juga bermakna FAM akan menanggung beban kewangan yang tinggi.

``Penubuhan pasukan itu juga melibatkan banyak perkara seperti pengurusan, kewangan dan sebagainya.

``FAM memerlukan lebih ramai pegawai untuk menjaga pemain-pemain dan mereka akan menyertai latihan untuk tempoh yang panjang dan menyertai banyak kejohanan atau lawatan di luar negara, jadi saya fikir perbelanjaan untuk pasukan itu agak tinggi.

``Bagaimanapun, jika difikir secara mendalam, ini memang tugas FAM (menyediakan pasukan kebangsaan yang kuat),'' katanya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0426&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iQOzAKOx
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan