Selasa, 30 Mei 2017

Dua tonggak jadi sandaran

ARKIB : 03/06/2005

Oleh: AMRAN MULUP

PETALING JAYA - Gandingan Hairuddin Omar dan Mohd. Nizaruddin Mohd. Yusoff menjadi sandaran jentera serangan skuad bola sepak kebangsaan bagi melebarkan rekod kemenangan apabila bertemu Singapura dalam perlawanan persahabatan di Stadium Kallang, malam esok.

Sentuhan Hairuddin dan Nizaruddin menjadi pertaruhan utama jurulatih Bertalan Bicskei apabila terpaksa mengetepikan Akmal Rizal Rakhli, Indra Putra Mahayuddin, Mohd. Nor Ismail dan Muhammad Khalid Jamlus gara-gara kecederaan.

Keupayaan Hairuddin tidak perlu dipertikaikan sejak di bawah bekas jurulatih kebangsaan, Allan Harris.

Begitu juga aksi Nizaruddin yang turut menyumbang salah satu gol ketika Malaysia membelasah Singapura 4-0 pada perlawanan pembukaan Piala Tiger 2002.

Pengurus kebangsaan, Mohamad Bakar berkata, tempoh 11 hari menjalani latihan tidak menyukarkan buat kedua-dua pemain itu mampu mewujudkan gandingan mantap di bahagian serangan berdepan dengan Singapura.

Menurutnya, tanpa empat tonggak serangan yang terpaksa disisihkan, gandingan Hairuddin dan Nizaruddin disifatkan lebih jitu berbanding skuad ke Sukan Negara-Negara Islam di Arab Saudi yang lalu.

``Bukan sahaja di bahagian serangan tetapi di semua posisi barisan kali ini dianggap lebih mantap jika hendak dibandingkan dengan pemain-pemain yang ke Arab Saudi,'' ujarnya sebelum skuad kebangsaan berlepas ke Singapura, semalam.

Skuad bimbingan Bicskei seramai 21 pemain berlepas ke Singapura dalam misi untuk mempertahankan maruah antara kedua-dua negara walaupun ia sekadar perlawanan persahabatan.

Mohamad berkata, dua lagi pemain iaitu Muhammad Khaironnisam Shahabudin dan Zainuddin Ariffin terpaksa diketepikan di saat-saat akhir akibat kecederaan.

Mohamad berkata, beliau yakin barisan 21 pemain yang dipilih selepas 15 daripada mereka terpaksa digugurkan akibat kecederaan mampu untuk memahatkan kemenangan ke atas Singapura.

``Skuad kali ini saya sifatkan cukup mantap berbanding skuad di Sukan Perpaduan Negara Islam di Arab Saudi.

``Walaupun pada dasarnya kita kehilangan banyak pemain utama tetapi saya tetap yakin barisan yang ada mampu mempamerkan permainan bermutu tinggi,'' ujarnya.

Malaysia mempunyai rekod cemerlang bertemu Singapura dengan empat perlawanan dan satu keputusan seri menjadi milik skuad kebangsaan.

Membelasah lawan 4-0 di Piala Tiger 2002 dan menang 2-0 di Sukan SEA Vietnam pada 2003.

Manakala tiga perlawanan persahabatan turut mengukir kemenangan iaitu 2-0 di Stadium KLFA (2004), 2-1 di Stadium Jalan Besar (2004) dan seri 0-0 di Stadium KLFA (2005).

Mohamad berkata, dua perlawanan persahabatan tersebut adalah penutup tirai buat skuad senior kebangsaan kerana selepas ini skuad bawah 23 tahun yang turut dikendalikan oleh Bisckei akan menjadi tumpuan persiapan menghadapi temasya Sukan SEA Manila dari 28 November hingga 5 Disember ini.

Ujarnya, skuad bawah 23 tahun kebangsaan akan mula menjalani latihan Julai ini termasuk mengadakan sesi latihan di Poland selama 12 hari pada Ogos ini.

Beliau menambah, selepas tamat Sukan SEA, skuad kebangsaan akan dihimpun semula bagi persiapan rapi menghadapi Piala Asia.

Malaysia akan berdepan dengan Singapura untuk perlawanan persahabatan kedua di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 8 Jun ini.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iZp4r1f6
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan