ARKIB : 27/12/2004
JAKARTA - Latihan skuad bola sepak negara untuk perlawanan separuh akhir Piala Tiger di Jakarta semalam mendapat tumpuan ramai peminat bola sepak tempatan, malah ada di kalangan wartawan yang bergurau bahawa jumlah mereka melebihi daripada yang datang menonton perlawanan-perlawanan peringkat awal di Bukit Jalil.
Malaysia menjalani latihan di padang terbuka dengan hanya pagar perimeter setinggi kira-kira satu setengah meter memisahkan mereka dengan penonton Indonesia.
Ia memberi petanda bahawa reputasi Malaysia dihormati oleh peminat di sini walaupun jurulatih Indonesia, Peter Withe menganggap pasukannya memiliki kelebihan besar kerana sokongan penyokong tempatan yang dijangka memenuhi stadium esok.
Malah wartawan-wartawan daripada media tempatan juga menghormati keupayaan Malaysia.
``Saya mengkagumi Malaysia kerana hanya mereka yang pernah menumpaskan Thailand dua kali berturut-turut dalam kejohanan dwi tahunan ini,'' kata seorang wartawan yang menyaksikan latihan skuad negara semalam.
Kali pertama Malaysia menumpaskan juara tiga kali, Thailand ialah pada 2002 di Singapura dengan 3-1 dan mengulangi keupayaan itu di Bukit Jalil dengan keputusan 2-1 sekali gus menyingkirkan Thailand daripada ke pusingan kalah mati.
Jurulatih skuad negara, Bertalan Bicskei apabila ditanya apakah anak-anak buahnya tertekan dengan tumpuan yang diberikan oleh peminat-peminat di sini menjawab: ``Para pemain negara sudah begitu profesional. Saya percaya tumpuan dan kekuatan mental mereka tidak sepatutnya terjejas dengan keadaan ini.
``Semua pemain juga sedar bahawa stadium akan penuh pada hari pertandingan nanti, mungkin akan disaksikan oleh lebih 100 ribu penonton tetapi kami pernah bermain di hadapan penonton yang ramai dan ini tidak sepatutnya mendatangkan masalah kepada kami.''
Malah bagi jurulatih dari Hungary itu, Malaysia yang memiliki kelebihan kerana bermain separuh akhir pertama di tempat lawan.
``Ya, saya merasakan ini satu kelebihan bagi kami,'' katanya menjawab soalan seorang wartawan tempatan.
Latihan pasukan negara semalam di sebuah padang berhampiran Stadium Gelora Senayan yang akan menjadi gelanggang pertempuran malam esok mungkin memberi gambaran siapa yang akan disenaraikan dalam kesebelasan utama tetapi Bicskei melihat masih banyak masa untuk membuat keputusan.
Beliau lebih suka menerangkan mengenai program latihan yang telah dijalankan.
``Kami telah dua hari menjalani latihan di Jakarta. Latihan pertama kelmarin berupa latihan kepada aspek teknikal memandangkan pemain-pemain masih letih kerana baru tiba dan hari ini kami membuat latihan taktikal termasuk sedikit latihan taktikal menyerang,'' katanya.
``Bermain di mana-mana pun sama sahaja. Pemain-pemain saya profesional dan bermain di hadapan penonton yang ramai tidak sepatutnya mendatangkan masalah bagi mereka,'' kata jurulatih skuad bola sepak negara, Bertalan Bicskei menjawab soalan pemberita.
Bagaimanapun Bicskei berkata: ``Kami seharusnya menjaringkan gol apabila bermain di tempat lawan.''
Skuad negara hadir tanpa S. Saravanan, pemain yang membantu Khalid Jamlus menjaringkan kedua-dua gol ketika bertemu Thailand.
``Ya, semua pemain adalah bagus dan penting. Saravanan juga bagus tetapi terpaksa menjalani pembedahan (di lutut) dan mungkin tidak akan bermain selama lima hingga enam bulan,'' katanya, tetapi nadanya membayangkan dia tidak khuatir kerana masih memiliki Khalid Jamlus dan Amri Yahyah.
Ditanya apakah dia berasa lega kerana Indonesia tidak dapat menggunakan khidmat dua penyerang utama, Ilham Jaya Kesuma dan Boas Salossa akibat penggantungan, Bicskei berkata rakan sejawatnya, Peter Withe masih mempunyai banyak pilihan.
``Indonesia bukan sekadar mempunyai 11 pemain utama,'' kata Bicskei.
Beliau amat menghormati keupayaan penyerang, Yulianto Dwi Kurniawan, Elly Aiboy dan juga bek tengah, Ponaryo Astaman yang disifatkannya mempunyai permainan mirip pemain pertahanan negara, Kaironnisam Shahabuddin selain menganggap penjaga gol, Hendro cukup kental untuk ditewaskan. - Utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan