Jumaat, 5 Mei 2017

Malaysia tempuh laluan sukar

ARKIB : 13/12/2004

PEMAIN Malaysia, Chow Chee Weng (depan) diasak keras oleh salah seorang pertahanan Myanmar dalam perlawanan bola sepak Piala Tiger di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi. Skuad negara tewas 1-0. Gambar NAZUDEEN MAHMUD.




HAJAT Malaysia untuk melangkah awal ke separuh akhir disekat oleh kehebatan dan corak permainan kemas Myanmar yang menewaskan pasukan kebangsaan dengan jaringan 1-0 dalam perlawanan bola sepak Kumpulan B Piala Tiger di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Jaringan tunggal ketua pasukan Myanmar, Soe Myat Min sekadar menyulitkan laluan Malaysia untuk ke separuh akhir mengulangi pencapaian skuad bimbingan Wan Jamak Wan Hassan yang muncul naib juara pada kejohanan pertama Piala Tiger di Singapura pada 1996.
Kekalahan pertama anak didik jurulatih Bertalan Bicskei selepas memahatkan kemenangan selesa ke atas Timor Leste 5-0 dan Filipina 4-1 mengundang laluan paling getir berdepan dengan penyandang juara, Thailand dalam perlawanan terakhir Selasa ini yang akan menentukan peluang untuk ke separuh akhir.
Di hadapan kira-kira 5,000 penyokong yang turun buat menyemarakkan semangat juang pemain kebangsaan namun segalanya tidak menjadi untuk mencari gol penyamaan.
Skuad kebangsaan jelas tersentak dengan corak permainan pantas dan hantaran-hantaran kemas Myanmar.
Biarpun memasukkan dua penyerang V. Saravanan dan Mohd. Nor Ismail pada babak kedua bagi membantu Muhammad Khalid Jamlus dan Mohd. Amri Yahyah yang tidak bertenaga namun segala usaha tersebut tidak menjadi kenyataan.
Malaysia kini mempunyai enam mata daripada dua kemenangan manakala Myanmar yang mengikat Thailand dengan keputusan seri 1-1 mengumpul tujuh mata dan dijangka mudah ke separuh akhir apabila berdepan dengan Timor Leste dalam perlawanan terakhir.
Myanmar yang mempamerkan corak permainan pantas membuka tirai jaringan pertama apabila ketua pasukannya, Soe Myat Min menolak masuk bola mudah akibat kesilapan benteng pertahanan Malaysia pada minit ke-20.
Berpunca daripada bola lambungan daripada sebelah kiri penjaga gol kebangsaan, Mohamad Syamsuri Mustafa melonjakkan diri tetapi gagal menangkap kemas bola tersebut.
Bagaimanapun bola tersebut jatuh ke kawasan kotak penalti Malaysia dan Myat Min yang kebetulan berada tidak jauh dari situ dengan mudah menolak dalam keadaan pintu gol terbuka.
Situasi tidak menentu yang melihat skuad kebangsaan lebih banyak terdesak memaksa jurulatih Bertalan Bicskei membawa masuk D. Surendran Chow Chee Wing.
Malaysia hampir-hampir meledakkan jaringan penyamaan namun ketangkasan penjaga gol Myanmar, Aung Aung Oo tangkas menolak keluar sepakan percuma Surendran pada minit ke-42.
Seminit selepas itu Malaysia hampa lagi peluang terbaik terhidang di depan pintu gol lawan hampa apabila Amri gagal melepaskan rembatan ketika berdepan dengan Aung Oo.
Pada minit ke-59 Malaysia memasukkan penyerang, V. Saravanan menggantikan Liew Kit Kong bagi memperkukuhkan jentera serangan untuk memburu gol penyamaan.
Di minit-minit terakhir Malaysia hampa lagi untuk mencipta jaringan penyamaan apabila tandukan kencang Amri sekadar menyingahi palang gol.
Sementara itu juara bertahan,Thailand sekalipun menampilkan kebanyakan pemain simpanan masih mampu membelasah Timor Leste 8-0 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B, semalam.
MALAYSIA 0 MYANMAR 1
Soe Myat Min m20

Tiada ulasan:

Catat Ulasan