Sabtu, 6 Mei 2017

Bicskei terselamat dari dipecat



ARKIB : 19/01/2005

PETALING JAYA - Jurulatih bola sepak kebangsaan, Bertalan Bisckei terselamat daripada dipecat apabila Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersetuju memberi peluang kedua kepada pengendali dari Hungary itu.

Jawatankuasa Teknikal FAM yang bermesyuarat dalam suasana hangat semalam menerima pandangan berbeza daripada ahlinya tetapi akhirnya mengambil keputusan mengekalkan Bisckei.

Pengerusinya, Datuk Dr. Ibrahim Saad berkata, keputusan memberi peluang kedua kepada Bisckei berasaskan kepada keupayaan jurulatih itu membentuk skuad yang agak baik dalam tempoh yang singkat.

``Mesyuarat telah mengambil kira prestasi keseluruhannya dalam 12 perlawanan antarabangsa di mana tujuh daripadanya mencatat kemenangan.

``Lagi pun ketika di bawah bimbingan Allan Harris, Malaysia menduduki tempat keempat berbanding Bisckei yang berjaya meletakkan pasukan negara di tempat ketiga dalam Piala Tiger.

``Oleh itu, FAM mengambil keputusan untuk memberi peluang kedua kepadanya dengan menjadikan Sukan SEA di Manila sebagai matlamat,'' katanya selepas mempengerusikan mesyuarat itu di Wisma FAM, semalam.

Menurut beliau, Bisckei wajar diberi peluang kedua memandangkan di bawah bimbingannya, skuad kebangsaan dua kali berjaya menewaskan Thailand, 3-1 pada Piala Tiger dan 2-1 pada perlawanan persahabatan sebelum itu.

Di samping itu, semua pasukan yang layak ke separuh akhir Piala Tiger yang baru lalu pernah ditewaskan Malaysia di bawah bimbingan Bisckei.

``Jadi tidak ada alasan kukuh untuk memecatnya buat masa ini dan kita berpuas hati dengan pencapaiannya itu,'' tegas Dr. Ibrahim.

Walaupun pendekatan dan percaturan Bisckei dikritik hebat ahli jawatankuasa teknikal semalam namun semuanya mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Malaysia tewas menerusi agregat 5-3 kepada Indonesia di separuh akhir Piala Tiger biar pun menang 2-1 dalam perlawanan pertama di Jakarta.

Cara Malaysia kalah 4-1 di Kuala Lumpur selepas itu jelas sukar diterima menyebabkan Bisckei dikritik hebat.

Sementara itu, untuk membolehkan Bisckei memperbaiki lagi kelemahan skuad kebangsaan, FAM telah melantik seorang lagi jurulatih import, Joseph Dzuajak sebagai penolongnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4gMdGDw00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan