Selasa, 30 Mei 2017

Singapura terus malukan Malaysia



ARKIB : 09/06/2005

Oleh AHMAD SYAHIR KASSIM 
PULAU PINANG - Misi Malaysia menebus maruah gagal apabila tewas buat kali kedua dengan jaringan 2-1 kepada Singapura pada perlawanan persahabatan di Stadium Bandaraya di sini, semalam.

Setelah diaibkan dengan dua jaringan tanpa balas di Stadium Nasional Kallang Sabtu lalu, anak buah Bertalan Bicskei terpaksa akur kehebatan anak didik Radojko Avramovic yang beraksi dengan lebih baik.

Kekecewaan buat penyokong yang hadir ingin melihat corak permainan mantap skuad kebangsaan tetapi sebaliknya dihidangkan dengan aksi kurang bermaya.

Ketiadaan penyerang Indra Putra Mahayuddin, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Muhammad Khalid Jamlus menjejaskan rentak Malaysia dalam misi merobek gawang lawan.

Kemenangan milik Singapura membolehkan skuad negara jiran itu membawa pulang Piala Cabaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Pasukan pelawat membuka tirai jaringan pertama apabila penyerang lincah, Nor Alam Shah menggegarkan jaring skuad kebangsaan pada minit ke-18 yang mengambil kesempatan daripada keadaan kelam kabut di pintu gol Malaysia.

Skuad negara tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan, apabila skuad Kota Singa yang terdesak dengan serangan balas Malaysia melakukan kesilapan apabila pertahanan lawan, Baihakki Khaizan menjatuhkan Nizaruddin Yussof dalam kotak penalti pada minit ke-23.

Penyerang Public Bank itu mencemaskan lebih 5,000 penonton tuan rumah apabila sepakan penaltinya ditepis keluar penjaga gol lawan, tetapi mujurlah muncul Mohd Arsyah Mohd Ayob yang menyepak deras menewaskan Lewis.

Peluang skuad negara untuk berada di depan muncul lagi, namun dilepaskan oleh Nizaruddin dan Zainuddin Ariffin apabila bola sekadar melintasi gawang Singapura.

Selepas rehat menyaksikan bola lebih banyak berlegar di tengah padang dengan kedua-dua pasukan memperlahankan rentak permainan bagi mengatur strategi memerangkap lawan masing-masing.

Namun, dalam keasyikan mengatur gerak Singapura dihadiahkan sepakan percuma di penjuru kanan kotak penalti apabila Mohamad Khaironnisom Shahabudin menjatuhkan Nor Alam Shah.

Kesempatan itu membuka ruang kepada pasukan pelawat menambah jaringan apabila sepakan leret Bennet Daniel Mark membolosi benteng pasukan tuan rumah sebelum menewaskan Azizon Abd. Kadir buat kali kedua pada minit ke-66.

Ketika kerancakan permainan penonton dikejutkan dengan kelibat Bisckei yang meluru ke padang menolak pemain Singapura, Razaleigh Khaik kerana tidak puas hati dengan tindakan pemain itu mengasari Zainuddin.

Namun, keadaan kemudiannya diredakan oleh pengadil perlawanan dari Indonesia, Jimmy Napitupulu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0609&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4ibuETbmz
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan