Selasa, 30 Mei 2017

Vingada mahu Harimau Malaya mengaum



BERNAMA
 
KETUA jurulatih baharu, Nelo Vingada berjanji mempersiapkan skuad Harimau Malaya sebaik mungkin menjelang aksi kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan di Stadium Larkin pada 13 Jun ini.

Jurulatih kelahiran Portugal itu yang tiba di tanah air sejak minggu lalu, berharap tempoh latihan pusat selama dua minggu memadai untuk membentuk kombinasi mantap dan terbaik untuk perlawanan itu.

"Saya tidak mahu memberi alasan bahawa saya memerlukan lebih banyak masa tetapi akan berusaha membentuk sebuah pasukan terdiri daripada barisan pemain berkualiti.

“Sudah tentu ada tekanan tetapi ini ada perkara biasa sebelum perlawanan. Saya harap dapat gunakan masa ini untuk mengenali pemain kerana baru sahaja menggalas tugas ini. Saya yakin kepada orang yang saya bekerjasama," katanya selepas hari pertama sesi latihan pusat di padang Seri Gelam, Johor Bahru malam tadi.

Sesi latihan membabitkan 26 pelatih skuad Harimau Malaya bermula jam 10.30 malam.

Bagaimanapun, 11 pelatih daripada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak dapat menyertai latihan pusat kerana sedang membuat persiapan bagi menghadapi kelab Filipina, Ceres Negros FC pada aksi separuh akhir kedua Piala AFC Zon Asia Tenggara di Stadium Panaad, Bacolod City, Filipina, malam esok.

Mereka dijangka mengikuti sesi latihan pusat pada 3 Jun ini.

Mengenai isu sembilan pemain berusia 30 tahun ke atas dan dilabel kuda tua dalam skuad pelatih Harimau Malaya, Vingada berkata usia tidak menjadi masalah selagi mana-mana pemain disenaraikan dapat menampilkan persembahan terbaik.

Katanya, pemain berusia lebih 30 tahun masih lagi menunjukkan prestasi terbaik ketika mewakili pasukan Itali dan England.

"Secara peribadi, saya suka untuk melabur untuk pemain baharu. Membawa masuk bakat baru sentiasa menjadi kepakaran saya. Sebab itu saya membawa masuk dua pemain berusia 22 tahun.

Sekiranya, mereka menampilkan persembahan berkualiti, mereka boleh menyarung jersi kebangsaan dan sama dengan pemain sudah berusia," katanya.

Vingada berkata beliau dan Presiden Persatuan Bola SEpak Malayia (FAM), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim komited untuk membawa perubahan dan idea baharu dalam kancah bola sepak tempatan.

"Seandainya, kita memperoleh keputusan baik pada perlawanan kelayakan Piala Asia, sudah pasti ia memberi motivasi ke arah hala tuju baharu dalam kancah bola sepak negara," katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2017 @ 4:33 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan