Ahad, 28 Mei 2017

Bukan mudah jumpa Maghribi



ARKIB : 10/04/2005

MEKAH - Skuad bola sepak Malaysia tidak menjangkakan keputusan yang baik dapat dicapai apabila turun menentang Maghribi dalam perlawanan pertama pada Sukan Perpaduan Islam di Taif, esok.

Bagaimanapun skuad negara masih mengharapkan dapat memberi tentangan sengit dan cuba membuat kejutan ke atas pasukan gagah dari utara Afrika itu.

Jurulatih negara, Bertalan Bicskei mengakui, bukan mudah menewaskan Maghribi yang memiliki barisan pemain terbaik ketika ini tetapi barisan anak buahnya mendapat suntikan semangat untuk mencuba yang terbaik di bumi Arab Saudi ini selepas mengetahui halangan ke suku akhir tidak sukar.

Penarikan diri Kuwait dalam acara ini memberi khabar gembira kepada skuad negara yang sebelum ini menghadapi tugas perit untuk ke suku akhir dengan adanya Magribi dan Kuwait dalam Kumpulan D selain Pakistan.

``Saya akui ketiadaan Kuwait melegakan kita. Sekarang kita perlu tumpukan kemenangan ke atas Pakistan dan cuba mengatasi Maghribi walaupun kita tahu amat sukar untuk kita atasi mereka,'' kata Bicskei ketika ditemui sebelum upacara pembukaan di Stadium Bandar Raya Sukan Raja Abdul Aziz di Mekah, kelmarin. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0410&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iMSU9xWG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan