Jumaat, 5 Mei 2017

FAM rayu sokongan peminat

ARKIB : 12/12/2004
PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) merayu peminat bola sepak datang beramai-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini bagi menyemarakkan lagi semangat pemain kebangsaan yang akan berdepan dengan perlawanan penting bertemu Myanmar.
Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad berkata, kehadiran ramai penonton akan dapat membangkitkan semangat juang tinggi buat pemain yang perlu menang ke atas Myanmar bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir.
``Bagilah sikit sokongan kepada pemain kerana mereka bermain untuk negara,'' ujarnya ketika dihubungi semalam.
Beliau yakin kehadiran ramai peminat ke stadium akan dapat menyuntik semangat kepada pemain yang akan beraksi dengan lebih yakin.
Ujarnya, skuad bola sepak kebangsaan berdepan dengan perlawanan paling getir dengan Myanmar dan hanya kemenangan bakal mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Beliau yang juga pengurus pasukan melahirkan rasa kecewa ketika aksi skuad kebangsaan menewaskan Timor Leste 5-0 dan Filipina 4-1, hanya melihat segelintir peminat berada di stadium memberikan sokongan.
``Saya sedih dengan keadaan ini apa salahnya mereka (peminat) datang bantu skuad kebangsaan kerana kehadiran mereka akan meniup semangat membara kepada pemain,'' ujarnya.
Beliau mengambil contoh Vietnam apabila setiap kali pasukan kebangsaan itu beraksi penonton memenuhi setiap ruang di stadium tersebut.
Sehubungan itu Ibrahim menagih simpati peminat untuk memberikan sokongan moral malam ini.
Mengulas mengenai peluang untuk menewaskan Myanmar Ibrahim berkata, berdasarkan peningkatan corak permainan dalam dua perlawanan menentang Timor Leste dan Filipina, beliau yakin skuad kebangsaan mampu menewaskan Myanmar.
``Apa yang penting, pemain jangan mengambil kira keupayaan Myanmar yang menang tipis ke atas Filipina 1-0 sedangkan kita menang 4-1.
``Myanmar adalah pasukan yang kuat dan tidak boleh dipandang remeh dan mereka telah buktikan bila mengikat pasukan pilihan, Thailand 1-1,'' tambahnya.
Beliau yakin anak didik Bertalan Bicskei mampu mempamerkan corak permainan lebih mantap berbanding dua kemenangan ke atas Timor Leste dan Filipina.
Sementara itu tiket-tiket bagi perlawanan Malaysia bertemu Myanmar dan Thailand bertemu Timor Leste berharga RM10 akan mula dijual di kaunter tiket di Stadium Nasional Bukit Jalil mulai pukul 10 pagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan