ARKIB : 21/12/2004
BERDASARKAN rekod pertemuan yang lalu, kehebatan Indonesia yang digembar-gemburkan paling mantap ketika ini sebenarnya mampu untuk dijinakkan oleh skuad bola sepak kebangsaan.
Bukan sesuatu yang mustahil bagi skuad bimbingan jurulatih, Bertalan Bicskei untuk menumbangkan Indonesia meskipun beraksi di gelanggang lawan.
Malah pertembungan Malaysia-Indonesia pada saingan pertama separuh akhir Piala Tiger di Stadium Utama Senayan pada 28 Disember ini boleh diibaratkan pertemuan `buku dengan ruas'.
Misi balas dendam luka yang terpalit gara-gara kekalahan 1-0 kepada Indonesia pada separuh akhir 2002 di Jakarta dalam kejuaraan yang sama, mampu ditebus kembali kali ini.
Pengurus pasukan kebangsaan, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad mengakui tugas berat menanti kesebelasan utama skuad negara tetapi melahirkan rasa yakin bahawa kehebatan Indonesia boleh dileburkan di Stadium Utama Senayan.
``Bukan Malaysia tidak pernah menewaskan Indonesia malah telah beberapa kali kita menang.
``Berdasarkan kemenangan lalu rasanya tidak ada masalah buat pemain kita menewaskan Indonesia. Lagi pun tujuh daripada pemain kita pernah beraksi dengan lawan sebelum ini,'' ujarnya ketika ditemui selepas sesi wawancara eksklusif pemain dan pengurusan skuad kebangsaan di Studio 2, ntv7 di Shah Alam, semalam.
Malaysia pernah menggamit kemenangan bergaya ketika membenam Indonesia 3-1 pada separuh akhir Piala Tiger pertama 1996 disusuli kemenangan 4-0 pada perlawanan persahabatan Mei tahun lalu.
Dalam satu lagi perlawanan persahabatan yang diadakan di Johor Baharu Februari lalu skuad kebangsaan seri 0-0.
Namun pada saingan separuh akhir Piala Tiger dua tahun lalu di Jakarta, skuad kebangsaan tunduk 0-1 hasil jaringan Bambang Pamungkas.
Ibrahim menegaskan, pengalaman tujuh pemain kebangsaan yang pernah beraksi berdepan dengan Indonesia sebelum ini dapat membantu mengurangkan tekanan menjelang pertemuan 28 Disember ini.
Tujuh pemain tersebut ialah penjaga gol Mohamad Syamsuri Mustafa, Muhammad Khaironnisam Shahbudin Husain, Wan Rohaimi Wan Ismail, K. Nanthakumar, Mohd. Fadzli Saari, Rosdi Talib dan Muhamad Shukor Adan
``Rasanya pemain tidak janggal dan kekok apabila berdepan dengan Indonesia pengalaman tujuh pemain ini mampu menyerap tekanan daripada lawan,'' ujarnya.
Pengalaman yang ada pada mereka kata Ibrahim juga akan dapat menghilangkan tekanan apa lagi beraksi di hadapan penyokong fanatik tuan rumah yang telah menjadi lumrah sejak beberapa tahun dulu.
Beliau menambah, tanpa mengambil kira kekuatan Indonesia, keupayaan skuad kebangsaan tidak kurang hebatnya untuk menyaingi lawan.
``Sejak kemenangan mengejut 2-1 ke atas Thailand, pemain begitu bersemangat tinggi untuk melangkah ke perlawanan akhir.
``Sejak sesi latihan Sabtu lalu, pemain menunjukkan komitmen, kesungguhan dan semangat juang tinggi untuk mempamerkan aksi paling menarik di Jakarta nanti,'' ujarnya.
Secara keseluruhannya katanya, kecederaan penyerang lincah, V. Saravanan masih menjadi tanda tanya.
Ujarnya, pemain itu kini menjalani rawatan rapi akan diuji dalam tempoh terdekat ini untuk mengetahui sama ada pemain itu dapat disenaraikan menjelang pertemuan dengan Indonesia nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan