Jumaat, 5 Mei 2017

Penuhi impian dengan keazaman

ARKIB : 27/12/2004
Tengku Abdullah serah Jalur Gemilang kepada para penyokong kelab Selangor di Wisma FAM semalam.


TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meminta pemain menyematkan keazaman dan kesungguhan tinggi bagi merealitikan impian buat Malaysia mendakap gelaran selaku juara Piala Tiger 2004, lapor AMRAN MULUP.
Menurutnya, bertemu Indonesia pada saingan pertama separuh akhir Piala Tiger di Stadium Utama Senayan, Selasa ini akan menjadi medan ujian sebenarnya menguji keupayaan barisan pemain negara.
Beliau berkata, hanya kesungguhan, komitmen tinggi berjuang demi nama negara dan mengamalkan sikap degil tidak mahu mengalahkan akan dapat menyuntik semangat pemain untuk menewaskan Indonesia.
Tengku Abdullah turut memberi ingatan agar pemain buat masa ini tidak terlalu memikirkan bentuk imbuhan yang akan diberikan oleh FAM.
``Saya mahu pemain bawa pulang dulu kejayaan dan kemudian baru fikirkan soal imbuhan.
``Saya beri jaminan ada imbuhan buat pemain jika mereka memastikan jika Malaysia layak ke perlawanan akhir dan menjulang Piala Tiger buat pertama kali.
``Apa yang penting, pemain perlu buktikan kesungguhan dan komitmen tinggi untuk menaikkan semula martabat bola sepak negara,'' ujarnya.
Tengku Abdullah menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan Jalur Gemilang kepada Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak Selangor (SSFC), Mohd. Nasir Yunus yang mengetuai rombongan 100 penyokong ke Jakarta di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Buat Tengku Abdullah, mesej itu penting bagi barisan pemain negara memperhalusi sebelum menggalas cabaran getir berdepan Indonesia pada separuh akhir pertama Piala Tiger di Stadium Utama Senayan, Selasa ini.
Bagaimanapun beliau membayangkan habuan lumayan lain daripada biasa yang akan FAM berikan jika pasukan negara mara ke perlawanan akhir dan menjulang Piala Tiger buat pertama kali.
Pencapaian terbaik Malaysia ialah muncul naib juara edisi 1996 di Singapura selain menduduki tempat ketiga 2000 dan keempat pada 2002.
Menurut Tengku Abdullah, beliau tidak mahu mengumumkan bentuk ganjaran lebih awal kerana sudah terjadi apabila imbuhan diberitahu, skuad bola sepak secara tiba-tiba gagal menjulang sebarang kejayaan.
``Itu sebab saya bagi tau pemain jangan fikirkan soal ganjaran, berjuanglah demi negara kerana perlawanan ini penting untuk memartabatkan semula bola sepak negara,'' tambahnya.
Timbalan Presiden FAM itu menegaskan beliau tidak mahu pemain negara dibuai dengan pelbagai ganjaran kerana misi utama ialah merangkul Piala Tiger buat kali pertama.
Bagi FAM katanya, pemain akan mendapat imbuhan yang setimpal seandainya mereka merealitikan impian untuk bergelar juara Piala Tiger tahun 2004.
Beliau mengakui Malaysia berdepan tugas getir bukan sahaja dengan kekentalan Indonesia tetapi juga kehadiran kira-kira 100,000 penyokong tuan rumah di Stadium Utama Senayan nanti.
Menurutnya, bukan misi mustahil barisan pemain negara untuk menewaskan Indonesia sekalipun bermain di hadapan ribuan penonton tuan rumah.
``Malaysia pernah menewaskan Indonesia 4-0 pada Piala Tiger dua tahun lalu dan mengapa tidak kali ini kita mampu menewaskan mereka,'' tegas Tengku Abdullah.
Dalam pada itu, Tengku Abdullah menasihatkan penyokong Malaysia yang akan berlepas ke Jakarta pagi ini, memberikan sokongan padu ke atas pemain negara.
``Kalau boleh jerit kuat-kuat dengan laungan `Malaysia Boleh', ini sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat pemain,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan