ARKIB : 02/05/2005
Oleh AMRAN MULUP
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr.
Ibrahim Saad, 57, dilantik sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) yang baru mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Datuk Dell
Akbar Khan yang meletak jawatan 1 Mac lalu.
Pelantikan itu berkuat kuasa
serta merta diumumkan oleh Presidennya, Sultan Ahmad Shah sewaktu berucap pada
mesyuarat Kongres FAM ke-43 di sini, semalam.
Pengumuman itu sekali gus
menamatkan teka-teki siapa pengganti bagi jawatan kerusi `panas' badan induk
yang sebelum ini berlegar di kalangan lima calon orang `luar' yang telah
disenarai pendek untuk jawatan itu.
Bagaimanapun, dua daripada lima
calon tersebut iaitu bekas pemain bola sepak Kelantan, Rosli Hussain dan
Pengarah Futsal Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), Norkefli Md. Sulong pula
dilantik sebagai Penolong Setiausaha FAM yang baru.
Jawatan itu sebelum ini
disandang oleh Datuk Yap Nyim Keong tetapi beliau turut meletak jawatan.
Pemilihan Ibrahim yang juga
adalah bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang disifatkan tepat berdasarkan
pengalaman dan kebolehannya untuk menerajui badan induk itu.
Serentak dengan pelantikan itu
Ibrahim terpaksa berkorban melepaskan lima jawatan penting yang disandangnya
sekarang.
Lima jawatan tersebut ialah
Pengerusi Panel Penasihat Sukan Kementerian Belia dan Sukan, Presiden Persatuan
Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM), Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau
Pinang (FAP), Naib Presiden FAM dan Presiden Universiti Kuala Lumpur.
Timbalan Presiden FAM, Tengku
Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, pelantikan Ibrahim adalah tepat bagi
meneruskan kesinambungan dalam badan induk itu.
``Presiden FAM mengakui betapa
Ibrahim adalah satu-satunya calon paling layak dilantik sebagai Setiausaha
Agung badan induk ini yang baru.
``Sultan Ahmad Shah
berpendapat, Ibrahim sebagai orang `dalam' yang berkebolehan untuk memberi
cadangan mempunyai hubungan baik dengan media, serta semua persatuan bola sepak
negeri termasuk juga dengan kerajaan.
``Pilihan ini dianggap tepat
ketika FAM dalam proses penstrukturan semula mengikut cadangan syarikat
perunding Price Waterhouse-Coopers (PWC),'' ujarnya.
Selain itu Tengku Abdullah
berkata, Ibrahim memiliki kemahiran dalam pengurusan dan pentadbiran yang dapat
membantu FAM lebih bergerak maju di masa akan datang.
Beliau tidak menafikan lima
calon yang telah disenarai pendek untuk jawatan tersebut mempunyai kelayakan
akademik tetapi ia tidak cukup dengan apa yang dimiliki oleh Ibrahim.
Timbalan Presiden itu berkata,
pelantikan Ibrahim adalah serta merta dan kontrak tiga tahun ditawarkan untuk
jawatan tersebut.
``Saya memuji beliau (Ibrahim)
yang sanggup berkorban melepaskan lima jawatan penting yang disandangnya
semata-mata untuk menerima tawaran sebagai Setiausaha Agung FAM,'' ujarnya.
Ibrahim ketika diminta mengulas
mengenai pelantikannya itu berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada
Sultan Ahmad Shah serta persatuan negeri kerana memberi kepercayaan dilantik
sebagai Setiausaha Agung FAM yang baru.
``Saya memerlukan masa antara
tiga atau empat bulan untuk menyelesaikan masalah perletakan jawatan bagi lima
jawatan yang saya sandang sebelum dapat memberikan tumpuan penuh dengan jawatan
baru saya ini.
``Tumpuan utama saya adalah
untuk memastikan pengurusan dan pentadbiran FAM berjalan dengan lancar selaras
dengan usaha penstrukturan semula badan induk ini,'' ujarnya.
Menurut beliau, FAM bukan lagi
dianggap sebagai persatuan biasa tetapi sebaliknya sudah sampai masanya ia
berubah menjadi sebuah badan yang lebih profesional.
Walaupun menyedari beban
tanggungjawab yang bakal dipikulnya, Ibrahim tetap yakin akan dapat
melaksanakan amanah yang diberikan bagi memastikan badan induk itu berjalan
dengan lancar.
Ujarnya, beliau telah
memaklumkan mengenai pelantikannya itu kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk
Azalina Othman Said.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0502&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iSeuQBIJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan