Jumaat, 19 Mei 2017

'Beliau mampu didik pemain'



           
Kuala Lumpur: “Naluri saya menyatakan Vingada adalah individu yang tepat untuk tugas ini,” kata Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika mengumumkan pelantikan jurulatih dari Portugal Nelo Vingada untuk mengendalikan Harimau Malaya semalam.

Pengalaman luas dimiliki jurulatih berusia 64 tahun itu bukan saja menjadi taruhan FAM untuk membawa keluar skuad kebangsaan yang menghuni tangga ke-158 dunia dari zaman kemerosotan malah mahu beliau menjadi guru kepada pemain.
 “Saya mahu jurulatih yang juga boleh menjadi seorang guru. Dalam pasukan kebangsaan, ia tidak hanya mengenai kejurulatihan tapi juga untuk memberi pendidikan kepada pemain kami. Dengan pengalaman dan usianya, kami melihat beliau sebagai jurulatih terbaik yang akan membantu pasukan kebangsaan meraih kejayaan.

“Kerjaya beliau bersama beberapa pasukan kebangsaan, dalam pasukan belia dan skuad utama serta beberapa kelab yang beliau latih menunjukkan pengalaman beliau yang sangat banyak dalam etika kerjanya.

“Kami tidak sabar untuk bekerjasama dengan Vingada dan harapnya menemui kejayaan baru,” kata Tunku Ismail.

Vingada yang digelar ‘The Professor’ turut kenali sebagai seorang jurulatih yang mengamalkan corak kejurulatihan serius, tegas dan dominan.

Ini kali pertama FAM kembali menggunakan khidmat jurulatih asing selepas mendiang Bertalan Bicskei dari Hungary yang dipecat pada September 2005.

“Selepas melihat ramai jurulatih, tempatan dan juga luar melakukan kerja mereka, naluri saya menyatakan Vingada adalah individu yang tepat untuk tugas ini. Saya mungkin silap tapi hanya masa yang akan menentukan,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mei 2017 @ 8:45 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan