Sabtu, 27 Mei 2017

Bisckei kekalkan 30 pemain



ARKIB : 10/03/2005


PETALING JAYA - Jurulatih kebangsaan, Bertalan Bisckei mengambil keputusan mengekalkan 30 pemain sedia ada untuk mengikuti latihan fasa kedua pula pada 20 Mac ini.

Sambil menolak kemungkinan beberapa pemain akan digugurkan bagi memberi laluan kepada pemain Perak dan Pahang yang tidak menyertai latihan fasa pertama, Bisckei juga mengharapkan kehadiran tiga pemain yang sedang menjalani ujian di England dapat menyertai latihan fasa kedua itu nanti.

Tiga pemain yang sedang mencuba nasib menyertai kelab Bournemouth itu dan akan kembali ke negara ini pada 21 Mac ialah Syamsuri Mustafa, Lim Chan Yew dan Fadzli Shaari.

``Saya akan mengekalkan pemain yang sama dalam latihan fasa pertama ini untuk fasa kedua nanti.

``Di samping itu, tiga pemain yang dijadual pulang dari England akan menyertai latihan fasa kedua pada 22 Mac ini,'' katanya selepas perlawanan persahabatan sesama pemain kebangsaan di Wisma FAM, semalam.

Perlawanan itu adalah penutup kepada latihan fasa pertama yang bermula Ahad lalu dan berakhir semalam.

Bisckei mengakui cuba menerapkan taktik baru di bahagian pertahanan dan serangan pada perlawanan itu.

Walaupun masalah kecergasan masih menghantui pemain-pemainnya, beliau tetap berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan 15 pemain yang pertama kali dipanggil ke latihan pusat skuad kebangsaan.

``Mereka agak keletihan selepas latihan fasa pertama ini tetapi kecergasan mereka akan diperbaiki lagi dalam fasa kedua nanti.

Beliau turut memuji komitmen yang ditunjukkan Akmal Rizal Rakhli dalam latihan selepas pemain itu tidak beraksi pada Piala Tiger yang baru lalu.

Ini bermakna, latihan fasa kedua itu nanti bakal menyaksikan paling ramai pemain dipanggil Bisckei iaitu kemungkinan hampir 40 orang dalam satu latihan pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi Sukan Perpaduan Islam di Arab Saudi bulan depan. .

Sementara itu dalam saingan Piala AFC, Perak yang enggan melepaskan pemainnya untuk menyertai latihan skuad kebangsaan melakukan permulaan memberansangkan apabila menang 2-1 ke atas kelab Singapura, Tampines Rovers di Stadium Perak, malam tadi.

Tampines Rovers bagaimanapun membuka jaringan lebih dulu menerusi pemain dari Craotia, Hucika Branko pada minit ke-21 sebelum Kieta Manjou menyamakan kedudukan pada minit ke-38.

Gol kemenangan Perak dijaringkan Syamsol Saad menerusi tandukan pada minit ke-71 selepas menyambut hantaran Ahmad Shahrul Azhar yang melakukan sepakan percuma.

Permainan sedikit tercemar pada minit-minit terakhir permainan apabila Syamsol dan pemain lawan, Mohd Nor Alam Shah dilayangkan kad merah kerana bertelagah sesama sendiri.

Dalam satu lagi perlawanan, Pahang tumpas 2-1 juga kepada kelab Singapura, Home United di tempat lawan

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0310&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4iGkuEmGa
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan