ARKIB : 05/01/2005
Bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim berkata, pemain Malaysia terlalu yakin bahawa pasukan pelawat tidak mampu untuk mengatur serangan balas setelah ketinggalan pada separuh masa pertama dan ternyata anggapan itu memakan diri sendiri apabila empat biji gol dihasilkan dalam tempoh 31 minit.
Beliau sendiri hairan dengan perwatakan semua pemain pasukan kebangsaan yang jelas berbeza sewaktu beraksi semalam jika dibandingkan corak permainan sewaktu mencatat kemenangan 2-1 di Jakarta.
``Entah apa yang melanda pemain kebangsaan semalam, mereka boleh menghadapi tekanan sewaktu beraksi di Jakarta walaupun dibaling dengan botol minuman, tetapi apabila berada pada kedudukan selesa di kampung sendiri, dan sedikit asakan pemain lawan, barisan kita nampak goyah.
``Saya juga tidak menafikan bahawa kekuatan mental para pemain kita malam itu agak lemah berbanding sewaktu beraksi di tempat lawan, mungkin akibat terlalu yakin dan kita menjadi semakin tertekan sehingga tiada pemain yang bangkit selepas Indonesia mendapat gol pertama,'' katanya ketika dihubungi di Kangar, semalam.
Malaysia yang dibimbing jurulatih Hungary, Bertalan Bicskei gagal ke perlawanan akhir setelah tewas dengan agregat 5-3, dan sudah pasti kekalahan 4-1 itu menjadi mimpi ngeri buat semua pemain kebangsaan selepas dianggap wira menumpaskan Indonesia 2-1 di Stadium Utama Senayan, Jakarta.
Walaupun mendahului dengan agregat 3-1 menerusi jaringan Mohammad Khalid Jamlus pada minit-28, pasukan tuan rumah seumpama selesa dengan kedudukan dan kealpaan itu dihukum oleh Indonesia yang membuat asakan bertalu-talu sehingga memecah benteng sebanyak empat kali.
Abdul Rahman yang kini menjadi jurulatih Perlis dan pernah membimbing skuad kebangsaan pada tahun 1999 hingga 2001 bagaimanapun berkata, semua pemain telah menunjukkan komitmen yang terbaik sehingga layak ke separuh akhir kejohanan itu termasuk mengetepikan cabaran juara bertahan, Thailand sebelum ini.
``Pemain kita nampak seperti hilang punca pada separuh masa kedua, terutamanya selepas Indonesia menjaringkan gol pertama dan agak malang sekali, tiada seorang pemain Malaysia yang bangkit selepas gol itu sehingga lawan menggunakan kesempatan yang ada untuk terus mengasak.
``Walaupun diasak agak keras pada separuh masa kedua, mereka tidak sepatutnya hilang rentak dengan corak lawan sehingga membiarkan pintu gol dibolosi dan tanpa serangan balas yang menarik,'' jelas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan